Dua Ahli Dewan Negara angkat sumpah Senator hari ini

Wan Junaidi (tengah) beramah mesra bersama Senator Datuk Mustafa Musa (kanan) dan Senator Susan Chemerai Anding (kiri) selepas majlis mengangkat sumpah Ahli Dewan Negara (Senator) di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
Wan Junaidi (tengah) beramah mesra bersama Senator Datuk Mustafa Musa (kanan) dan Senator Susan Chemerai Anding (kiri) selepas majlis mengangkat sumpah Ahli Dewan Negara (Senator) di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dua Ahli Dewan Negara mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, hari ini.

Mereka ialah Pengurus Besar Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka, Datuk Mustafa Musa dan Ahli Dewan Negara yang dilantik semula, Susan Chemerai Anding.

Pelantikan Mustafa adalah pilihan Ahli Dewan Undangan Negeri Melaka mulai 31 Julai lepas hingga 30 Julai 2026 manakala Susan adalah lantikan semula oleh Yang di-Pertuan Agong berkuat kuasa hari ini hingga 20 Ogos 2026.

Kedua-dua mereka mengangkat sumpah sebagai Senator pada majlis yang berlangsung di Dewan Negara, di sini.

Sementara itu, Wan Junaidi dalam ucapannya mengingatkan setiap Ahli Dewan Negara untuk berfikiran matang yang bebas daripada sebarang pengaruh luar dan peribadi, terutamanya yang berunsur dan bersifat politik.

Selain itu, beliau turut menyarankan Ahli Dewan Negara untuk lebih proaktif dan kreatif dalam memastikan pendapat intelektual mereka turut disampaikan kepada rakyat melalui media utama dan juga di dalam media sosial.

"Buat masa ini, input perbahasan daripada Dewan Negara kurang mendapat perhatian media secara amnya dan mungkin memberi persepsi kepada masyarakat bahawa Dewan Negara kurang memberi impak sebagai salah satu cabang badan legislatif di dalam pelaksanaan perlembagaan Malaysia.

"Oleh itu, saya berharap agar situasi ini akan segera berubah kepada liputan media yang lebih luas dan komprehensif di dalam sidang-sidang yang akan datang.

Artikel Berkaitan:

"Adalah penting untuk rakyat secara amnya mengetahui bahawa pendapat dan input-input yang produktif dan kritikal daripada Ahli-ahli Yang Berhormat Dewan Negara memainkan peranan yang penting di dalam meluluskan usul yang dibawa daripada Dewan Rakyat,” katanya. - Bernama