Mahdzir yakin Rosmah bantu Jepak dapat projek tenaga solar

Mahdzir Khalid
Mahdzir Khalid
A
A
A

KUALA LUMPUR - Saksi kelima pendakwaan, Datuk Seri Mahdzir Khalid memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa beliau yakin Datin Seri Rosmah Mansor membantu Jepak Holding Sdn Bhd untuk mendapatkan projek tenaga solar.

Ketika pemeriksaan utama oleh peguam, Datuk Jagjit Singh hari ini, Mahdzir yang juga bekas Menteri Pendidikan berkata, beliau dihubungi oleh Rosmah pada 22 Disember 2016 mengenai perkara itu.

Menurutnya, Rosmah ketika perbualan itu berkata, beliau tidak kenal Rayyan Radzwill Abdullah yang merupakan rakan kongsi kepada Pengarah Urusan Jepak Holding Sdn Bhd, Saidi Abang Samsuddin.

"Datin Seri (Rosmah) kata dia hanya membantu 'Cikgu Aazmey' dipercayai merujuk kepada Ahmad Aazmey Abu Talib, Setiausaha UMNO Pekan.

"Saya cuma jawab 'ya, ya, Datin Seri'. Jadi saya tidak ragu-ragu bahawa Rosmah membantu Jepak," kata Mahdzir.

Kontrak berkenaan membabitkan Jepak Holding Sdn Bhd membekalkan kuasa solar kepada 369 sekolah di Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

Mahdzir turut memberitahu bahawa beliau telah meminda surat anugerah kepada Jepak selepas dilobi oleh pembantu Rosmah, Datuk Rizal Mansor.

Dalam keterangannya pagi tadi, beliau berkata, pada November 2016, Saidi dan Rayyan menghubunginya kerana mereka tidak berpuas hati dengan surat asal anugerah itu yang mengandungi peruntukan bahawa Kementerian Pendidikan boleh membatalkan kerja-kerja Jepak bagi sekolah-sekolah yang telah disambungkan kepada talian kuasa grid.

Artikel Berkaitan:

Mahdzir berkata, Saidi dan Rayyan mengancam untuk membawa bantahan mereka kepada Najib dan memanggil Rizal.

"Mereka serah telefon kepada saya, Rizal memperkenalkan dirinya, saya kenali suara itu.

"Dia suruh saya untuk buang peruntukan itu dan tidak merumitkan perkara.

"Rizal berkata: "Mem' tahu tentang perkara ini. Saya tahu dia bercakap mengenai Datin Rosmah," kata Mahdzir.

Rosmah, 68, tidak mengaku bersalah atas dakwaan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin menerusi bekas pegawai khas kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Rizal Mansor.

Wang itu sebagai upah kerana membantu syarikat berkenaan mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Gense/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di tiga tempat berasingan iaitu Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra; kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta Kuala Lumpur dan di Kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Mac dan 7 September 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes rasuah Rosmah: Jepak Holdings tak puas hati klausa projek

'Rosmah hantar mesej desak percepat projek hibrid solar'