X

Kindly register in order to view this article
!

'Rosmah hantar mesej desak percepat projek hibrid solar'

Datin Seri Rosmah Mansor ketika tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di sini hari ini. - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa Datin Seri Rosmah Mansor menghantar mesej kepadanya mendesak beliau mempercepatkan projek hibrid solar.

Saksi pendakwaan kelima itu berkata, daripada apa yang difahami mengenai mesej itu, Rosmah memintanya untuk mempercepatkan projek berkenaan.

Mahdzir berkata, ini memperkuatkan kepercayaan beliau sebagai Menteri Pendidikan ketika itu bahawa Rosmah menyebelahi Saidi Abang Samsudin yang kemudiannya menjadi Pengarah Urusan Jepak Holdings, yang dianugerahkan projek hibrid solar di Sarawak.

"Saya rasa, Rosmah sebagai isteri Perdana Menteri mempunyai kuasa, beliau mahu projek itu untuk dipercepat," kata Mahdzir.

Mahkamah juga mendengar keterangan Mahdzir bahawa keputusannya untuk tidak menuruti perintah Najib ketika itu mengenai projek hibrid solar untuk sekolah-sekolah di Sarawak pada tahun 2016 telah menyebabkan Jepak Holdings tidak berpuas hati.

Mahdzir berkata, tidak lama selepas beliau meluluskan cadangan Kementerian Pendidikan untuk memberi syarikat itu melaksanakan projek perintis terhadap inisiatif berkenaan, Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin dan rakannya, Rayyan Radzwill Abdullah telah bertemu dengannya untuk menyuarakan kejengkelan mereka.

Mahdzir mendakwa bahawa Saidi dan Rayyan telah memberitahunya bahawa mereka akan membawa perkara itu kepada Najib.

Rayyan juga didakwa pergi bertemu Mahdzir dan memberi amaran bahawa dia 'tidak akan lama' di Kementerian Pendidikan kerana tidak mengikuti perintah Najib.

Mahdzir berkata, pada Jun 2016, beliau telah menerima satu lagi arahan daripada Najib dan memberitahunya mengenai pelaksanaan projek hibrid solar seperti yang telah diarahkannya sebelum ini.

Dalam pada itu Mahdzir juga berkata pada Mei 2016, beliau telah meluluskan beberapa cadangan oleh jawatankuasa teknikal Kementerian Pendidikan mengenai projek hibrid solar untuk sekolah-sekolah di Sarawak.

ARTIKEL BERKAITAN: Bicara kes Rosmah: Najib diperintah keluar mahkamah

Cadangan itu termasuk meletakkan Jepak Holdings tertakluk kepada beberapa syarat yang perlu dipenuhi sebelum projek itu diberikan kepada syarikat tersebut dan kontrak yang diberikan merupakan projek perintis terlebih dahulu.

Menurut Mahdzir, beliau telah bersetuju dengan cadangan berkenaan kerana syarat-syarat itu antara lainnya akan menguji kemampuan Jepak dalam memenuhi kontrak.

Bagaimanapun, tidak lama selepas beliau meluluskan cadangan itu, Mahdzir berkata, beliau telah menerima panggilan telefon daripada Rizal Mansor, pada waktu itu pembantu kepada Rosmah.

Mahdzir berkata, Rizal mempersoalkan tindakan beliau memutuskan untuk memberi projek perintis kepada Jepak, ketika Najib telah mengarahkannya untuk melaksanakan projek hibrid solar untuk menggantikan sistem penjanaan elektrik sedia ada untuk sekolah-sekolah di Sarawak.

"Dia juga mempersoalkan keputusan untuk menamatkan kontrak sekolah yang akan dihubungkan dengan grid tenaga," kata Mahdzir ketika memberi keterangan.

Mahdzir kemudian memberitahu Rizal bahawa keputusan itu dibuat oleh jawatankuasa teknikal, kementerian beliau hanya meluluskannya.

Terdahulu Mahdzir berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Idham Abd Ghani.

Projek solar hibrid di Sarawak adalah aspek utama tiga tuduhan rasuah yang dihadapi oleh Rosmah.

Mahdzir memberi keterangan semasa Idham menunjukkan gambar mesej WhatsApp antara saksi dan Saidi.

Idham: Bolehkah saya memaparkan mesej teks antara Datuk (Mahdzir) dan Saidi, di mana anda berkata Saidi meminta bantuan anda untuk dianugerahkan projek itu?

Mahdzir: Antara yang saya boleh katakan, antara mesejnya adalah: "YB, saya masih di KL. Tolong segera bantu saya sebagai kawan lama, untuk luluskan projek hibrid solar."

Mahdzir juga memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa Pengarah Urusan Jepak Holdings Saidi Abang Samsudin mengaku dirinya 'kawan lama' beliau bagi memastikan projek hibrid solar dianugerahkan kepada syarikat itu.

Menurutnya lagi, Saidi telah bertemu dengannya pada tahun 2015.

Pada waktu itu, kata Mahdzir, mereka membincangkan rancangan syarikat untuk memperkenalkan sistem hibrid solar untuk menghasilkan elektrik untuk 369 sekolah di Sarawak.

Menurut Mahdzir lagi, Saidi merancang untuk mengambil alih sistem elektrik genset janakuasa diesel sedia ada di sekolah-sekolah yang sedang dikendalikan oleh beberapa kontraktor.

Mahdzir berkata, sebagai Menteri Pendidikan ketika itu beliau telah menolak cadangan Jepak kerana masih mempunyai kontrak yang berterusan dengan kontraktor, selain mempunyai keraguan terhadap kemampuan Jepak Holdings untuk mengendalikan projek besar itu.

Bagaimanapun, pada Disember 2015, beliau menerima surat yang diminitkan oleh Najib, yang mana mengarahkan Mahadzir untuk melaksanakan rancangan Jepak Holdings.

Minit itu ditulis pada surat daripada Jepak Holdings kepada Najib bertarikh 23 November 2015, dengan berkata: "Bersetuju dilaksanakan sistem baru ini dan batalkan sistem lama," katanya kepada mahkamah hari ini.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus