PBAPP sokong cadangan SPAN lindungi Sungai Muda

Jaseni
Jaseni
A
A
A

GEORGETOWN - Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menyokong cadangan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) agar Sungai Muda, Kedah dilindungi sebagai 'sungai strategik' dalam mencegah pencemaran.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Jaseni Maidinsa berkata, Sungai Muda merupakan sumber air mentah utama bagi Pulau Pinang dan Kedah yang perlu dipantau, dilindungi dan dipelihara.

Sehubungan itu menurutnya, langkah-langkah penting perlu diambil bagi mengekalkan keselamatan sumber air yang dibekalkan kepada berjuta penduduk dan beribu-ribu perniagaan di kedua-dua negeri.

"Idea Pengerusi SPAN, Charles Santiago untuk mewujudkan zon penampan 30 meter di sepanjang 203 kilometer (km) sungai adalah permulaan yang baik.

"PBAPP juga setuju bahawa perlindungan Sungai Muda harus dibuat secara serius yang dianggap sebagai isu keselamatan awam dan bekalan air," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, lima tindakan penting perlu dimulakan iaitu rondaan tetap di sungai dan tebing sungai, pengawasan dron berkala, memasang papan tanda amaran, mendidik dan memaklumkan pemilik tanah tebing sungai serta penguatkuasaan ketat peraturan dan undang-undang perlindungan sungai.

Mengulas lanjut katanya, penemuan tapak pelupusan sisa haram kedua di sepanjang tebing Sungai Muda seharusnya menjadi amaran kepada pihak berkuasa berkaitan mengambil tindakan segera kerana ia merupakan ancaman langsung dan berbahaya kepada bekalan air di Pulau Pinang dan selatan Kedah.

"Sungai Muda adalah sumber air mentah utama untuk Pulau Pinang dan selatan Kedah. Jika PBAPP menghentikan abstraksi air mentah dari Sungai Muda demi melindungi kesihatan awam, ia akan menyebabkan gangguan bekalan air di seluruh Pulau Pinang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Julai tahun lalu, dilaporkan bahawa kerajaan Kedah menutup sebuah tapak pelupusan sampah seluas dua hektar di Sidam Kiri selepas bekas lombong pasir seluas 1.21 hektar berdekatan tebing Sungai Muda di Kampung Belida, Kuala Ketil, Kedah didapati dijadikan tapak pelupusan sampah.

Katanya, sebagai operator bekalan air Pulau Pinang, PBAPP tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan di Kedah.

Beliau berkata, pihaknya bertindak mengawasi kualiti air mentah yang diabstrak dari Sungai Muda di muka sauk di Lahar Tiang Pulau Pinang setiap hari.

Sementara itu katanya, makmal pusat di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua, loji rawatan air terbesar di Pulau Pinang berada pada tahap waspada ketika ini dan pihaknya akan terus mengambil sampel serta menguji air mentah yang dialirkan ke loji.

"Sehingga kini, kualiti air terawat yang dihasilkan oleh LRA Sungai Dua didapati bersih dan selamat. Air terawat PBAPP terus mematuhi parameter yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan di bawah Program Jaminan Kualiti (QAP).

"Selain itu, kita menjalankan ujian bebas terhadap 'logam berat' berikutan ancaman pencemaran dari tapak pelupusan haram Kampung Belida," katanya.