Insiden gaduh: 20 lagi penyokong Pulau Pinang ditahan

Seramai 20 penyokong Pulau Pinang dibawa ke Mahkamah Majistret Georgetown bagi mendapatkan perintah reman.
Seramai 20 penyokong Pulau Pinang dibawa ke Mahkamah Majistret Georgetown bagi mendapatkan perintah reman.
A
A
A

GEORGETOWN - Polis menahan 20 individu lagi selepas dipercayai terlibat dengan insiden pergaduhan di antara penyokong Pulau Pinang dan Kedah di luar Stadium Bandaraya di sini pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisoner Soffian Santong berkata, kesemua mereka yang berasal dari Pulau Pinang kini direman selama tiga hari sehingga 26 Ogos.

Menurutnya, mereka yang berusia di antara 18 hingga 30 tahun itu akan disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat.

"Semakan rekod yang dilakukan mendapati dua daripada mereka mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.

"Bagaimanapun ujian saringan air kencing dibuat mendapati kesemua mereka bebas daripada pengaruh dadah," katanya menerusi kenyataan di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Soffian berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan akan membuat beberapa lagi tangkapan susulan bagi mengesan mereka yang terlibat dengan insiden rusuhan itu.

Beliau turut meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu dan boleh menghubungi Inspektor Lim Zhao Yong di talian 011-19078888 bagi membantu siasatan.

Sementara itu ketika ditanya mengenai tujuh individu yang ditangkap sebelum ini, Soffian berkata, kesemua mereka telah dilepaskan dengan jaminan polis.

Artikel Berkaitan:

Perlawanan Liga Super antara Pulau Pinang dan Kedah Darul Aman di Stadium Bandaraya dicemari dengan insiden pergaduhan antara kedua-dua kumpulan penyokong selepas perlawanan berakhir pada malam Selasa.

Kejadian berlaku di luar stadium dipercayai berpunca disebabkan provokasi antara kedua-dua pihak sebelum berlaku insiden tolak menolak antara mereka.

Suasana menjadi semakin tegang apabila kedua-dua kumpulan mula bertindak agresif dengan aksi sepak terajang antara mereka hingga mencetuskan kekecohan berhampiran kawasan parkir bas penyokong Kedah.

Berikutan kejadian itu, polis menahan tujuh lelaki berusia antara 18 hingga 38 tahun dan direman selama dua hari bagi membantu siasatan.

Selain menangkap tujuh lelaki yang terlibat dengan pergaduhan itu, polis turut merampas dua biji batu, dua biji kon jalan dan sebatang kayu yang digunakan mereka ketika merusuh.

Soffian berkata, disebabkan insiden itu cermin pintu sebuah bas yang membawa penyokong pasukan Kedah turut pecah akibat ditumbuk oleh salah seorang suspek.

Selain itu, katanya, dua suspek yang ditahan sebelum ini turut mengalami kecederaan di kepala akibat terkena balingan batu.

ARTIKEL BERKAITAN:

Penyokong Pulau Pinang, Kedah bergaduh luar stadium

Penyokong Kedah, Pulau Pinang patut jaga sensitiviti - FAM