Koronavirus: Pas cadang wujud pelan menyeluruh

Dr Mohd Mazri Yahya
Dr Mohd Mazri Yahya
A
A
A

SHAH ALAM - Pas mencadangkan pelan menyeluruh membabitkan pelbagai kementerian diwujudkan segera bagi membendung penularan koronavirus.

Menurut Pengerusi Lajnah Kesihatan Pas Pusat, Dr Mohd Nazri Yahya, Pas mengambil maklum usaha dan pendirian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengawal jangkitan virus itu di dalam negara dan tanggungjawab yang perlu dilakukan sesuai dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

"Pas bimbang apabila pelbagai kenyataan dikeluarkan oleh pelbagai kementerian yang memberikan justifikasi dangkal dalam tindakan mereka.

"Sebagai contoh, kenyataan yang mengutamakan pulangan ekonomi dalam sektor pelancongan, prospek Tahun Melawat Malaysia 2020 yang akan terkesan serta beban dua juta pelancong dari China dijadikan sandaran.

"Ini memberi gambaran seolah-olah kerajaan mengutamakan wang ringgit berbanding kesihatan rakyat dan tenaga petugas kesihatannya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: KKM sahkan satu suspek terbaharu koronavirus

Dr Mohd Mazri berkata, kerajaan perlu lebih bertanggungjawab memberi pandangan dan tindakan serta setiap kenyataan perlu mengutamakan rakyat dan bukan kepentingan lain.

"Jangan pula rakyat disalahkan apabila kenyataan tersebut dianggap tidak wajar malah menimbulkan rasa tidak puas hati rakyat seolah-olah kerajaan cuba menyembunyikan sesuatu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, Pas mahu rakyat bertenang dan memberi kepercayaan serta kerjasama kepada KKM dan kementerian lain menjalankan tugas mengikut prosedur operasi standard (SOP).

"Pas akan terus memantau dan memberikan pandangan balas bagi pihak rakyat kerana kita yakin sinergestik dalam tindakan di antara rakyat dan kerajaan adalah penting untuk membendung virus," katanya.