Huanggang ikut langkah kuarantin Wuhan

Pihak berkuasa turut mewajibkan pemakaian topeng muka di Wuhan. - Foto Agensi
Pihak berkuasa turut mewajibkan pemakaian topeng muka di Wuhan. - Foto Agensi
A
A
A

BEIJING - Sebuah lagi bandar di China, Huanggang yang mempunyai kira-kira 7.5 juta penduduk akan mengikut jejak langkah Wuhan menghentikan operasi pengangkutan awam bermula tengah malam ini.

Selain itu, sebuah stesen kereta api di bandar ketiga berhampiran, Ezhou mempunyai populasi lebih sejuta orang juga akan ditutup menjadikan jumlah keseluruhan penduduk yang akan dikuarantin seramai kira-kira 20 juta orang.

Langkah kuarantin dikuatkuasakan serta-merta pagi tadi ke atas bandar Wuhan yang mempunyai populasi 11 juta penduduk itu dibuat selepas ancaman koronavirus semakin meningkat hingga mencatatkan lebih 570 kes jangkitan dan 17 kematian.

Di bawah langkah pengasingan terbabit, pengangkutan awam utama seperti bas dan kereta api bawah tanah digantung operasi sebagai langkah berjaga-jaga malah penduduk juga tidak dibenarkan meninggalkan bandar Wuhan tanpa sebab atau alasan kukuh.

Selain itu, pihak berkuasa juga melarang kereta api dan pesawat dari meninggalkan bandar hab pengangkutan utama tersebut.

Kebanyakan kes jangkitan dilaporkan di Wuhan di mana pasar borong makanan laut Huanan yang turut menjual pelbagai haiwan liar secara haram dikenal pasti sebagai pusat wabak yang mempunyai persamaan seperti Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) yang meragut hampir 650 nyawa di China dan Hong Kong pada 2002-2003.

Seperti SARS, wabak baru dikenal sebagai 2019-nCoV itu juga boleh disebarkan melalui saluran pernafasan.

ARTIKEL BERKAITAN: Ular punca wabak virus korona di China?

Artikel Berkaitan:

Wuhan, bandar bermulanya virus misteri

Wabak virus korona: Angka kematian cecah 17 orang

Kelmarin, Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan mengumumkan langkah untuk membendung wabak itu di seluruh negara termasuk pensterilan dan pengalihudaraan di lapangan terbang, stesen bas, dalam pesawat dan kereta api.

Pusat Perintah Antivirus Khas Wuhan dalam satu kenyataan memaklumkan langkah pengasingan itu bertujuan untuk mencegah penularan virus secara efektif dan menjamin kesihatan dan keselamatan orang ramai.

Sementara itu, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) bertindak menaikkan amaran perjalanan ke Wuhan daripada Tahap 1 kepada Tahap 2. - AFP