Berjaga tengah malam tadah air

Hayati memaklumkan air paip hanya pulih pada tengah malam setiap hari sekali gus menjejaskan rutin harian mereka.
Hayati memaklumkan air paip hanya pulih pada tengah malam setiap hari sekali gus menjejaskan rutin harian mereka.
A
A
A

KUANTAN - Kira-kira 200 penduduk di Felda Panching Utara, di sini terpaksa berjaga dari tengah malam hingga jam 3 pagi demi mendapatkan bekalan air bersih, sejak setahun lalu.

Ini kerana dakwa mereka, hanya pada waktu itu sahaja gangguan bekalan air pulih.

Penduduk, Hayati Baharum,52, berkata, isu gangguan bekalan air sudah berlarutan setahun lalu dan semakin kritikal hari demi hari menyebabkan mereka sukar mendapatkan bekalan air pada waktu siang.

"Saya tidak larat juga hendak angkut air dari kolah ke rumah, sebab kawasan rumah saya ini tinggi dan berbukit. Mahu tidak mahu saya terpaksa menunggu tengah malam.

"Setiap hari, saya tidur lewat kerana air paip hanya keluar pada waktu itu (tengah malam). Masa itulah rutin harian seperti membasuh pinggan dan pakaian, selain memastikan air simpan untuk kegunaan siang hari," katanya ketika ditemui pada Selasa

Hayati turut mengakui nurseri yang diusahakannya terpaksa dihentikan operasi disebabkan masalah berkenaan.

Gambar dari kiri: Hayati, Norazian, Kamariah, Mohd Tarmizi
Gambar dari kiri: Hayati, Norazian, Kamariah, Mohd Tarmizi

"Kita nak jual pokok bunga, anak pokok buah, kenalah pastikan semuanya segar baru ada orang nak beli.

Artikel Berkaitan:

"Kalau air pun tak ada, macam mana nak siram pokok, jadi saya fikir baik saya berhenti dulu (berniaga) dan harap pihak berwajib boleh selesaikan masalah ini," ujarnya.

Bagi bilal surau As-Sajiddin, Felda Panching Utara, Norazian Md Ali, 52, pula berkata, isu berkenaan sudah lama berlaku dan aduan juga sudah dibuat kepada Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP).

Sebelum ini, katanya, surau berkenaan menerima ramai jemaah, namun kini mereka tidak boleh lagi mengadakan solat berjemaah sejak mengalami gangguan bekalan air.

"Macam sekarang ini, sudah dua tiga hari kami tak boleh berjemaah di sini. Surau ini tiada kolah dan penggunaan air secara langsung melalui paip. Jadi, bila ada gangguan, kami perlu ke Masjid Al Huda jika hendak solat berjemaah.

"Jaraknya tidak jauh mana, kira-kira 900 meter dari surau ini. Cuma kalau bekalan air pulih, mudahlah kami nak berkumpul, lagi pun kebanyakan peneroka di sini generasi pertama, yang muda semua dah keluar (kerja) di bandar raya Kuantan atau luar Pahang," luahnya.

Dia turut memberitahu, penduduk sekitar surau itu sudah memahami keadaan bekalan air sekiranya tiada kedengaran azan dari surau terbabit.

Seorang lagi penduduk, Kamariah Mohamad, 67, berharap perkara itu boleh diatasi segera kerana ia sudah berlanjutan sejak sekian lama.

"Saya pun kurang sihat, ada masalah (sakit) saraf dan pergerakan terbatas. Sekarang ini harapkan suami, Ampandi Samsuddin, 71, dan anak-anak untuk sediakan bekalan air.


Ampandi menunjukkan tong yang digunakan untuk menyimpan air sejak setahun lalu.
Ampandi menunjukkan tong yang digunakan untuk menyimpan air sejak setahun lalu.

"Bekalan kadang-kadang terputus terus dan kadang-kadang ada (air) sekejap itu pun sebelah petang atau tengah malam. Memang sukar nak buat urusan harian, hendak membasuh baju pun kena tunggu jam 1hingga 2 pagi," keluhnya lagi.

Dia turut berkata, masalah itu juga mengakibatkan sukar untuk berkumpul dengan anak cucu terutamanya ketika musim cuti sekolah atau hari raya.

"Masa hari raya kami terpaksa tutup pintu (rumah), sebab tak ada air nak basuh pinggan gelas jika tetamu datang beraya," katanya.

Aduan dan laporan penduduk itu sudah sampai kepada pengetahuan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panching, Mohd Tarmizi Yahaya dan beliau turut sama meninjau masalah berkenaan.

Beliau dimaklumkan masalah itu membabitkan tekanan air rendah di sesetengah kawasan dalam Felda Panching Utara.

"Kalau ikutkan bukan hanya kawasan tinggi mengalami masalah ini, tetapi kawasan rendah pun turut alami gangguan sama.

"Mereka (penduduk) juga memaklumkan sudah membuat laporan kepada pihak PAIP, cuma setakat ini, belum ada tindakan susulan dilakukan pihak berkenaan," katanya.

Katanya, isu itu tidak selesai jika PAIP hanya bertindak menghantar lori tangki bagi membekalkan air kepada penduduk.


Mohd Tarmizi melihat tiada air keluar daripada paip ketika Ampandi membuka paip dirumahnya pada Selasa
Mohd Tarmizi melihat tiada air keluar daripada paip ketika Ampandi membuka paip dirumahnya pada Selasa

Jelasnya, tindakan itu hanyalah untuk penyelesaian jangka pendek dan penduduk mengharapkan penyelesaian yang boleh menjamin bekalan air di situ tidak terganggu.

"Kalau kita tengok di sini pun, kebanyakan peneroka adalah warga emas, jadi penyelesaian seperti menghantar lori tangki tidak banyak membantu mereka.

"Kita cuma harap pihak PAIP boleh menjelaskan punca sebenar berlaku gangguan bekalan air di sini kepada penduduk dan memberikan maklumat mengenai usaha yang sudah atau sedang dilakukan mereka (PAIP) untuk menyelesaikan isu terbabit," katanya.