X

Kindly register in order to view this article
!

Wuhan, bandar bermulanya virus misteri

Kakitangan perubatan membawa pesakit ke hospital Jinyintan, Beijing. - Foto AFP
A
A

BEIJING - Sebelum ini, Wuhan bukanlah sebuah bandar besar di China yang terkenal seperti Beijing atau Shanghai.

Bagaimanapun sejak bulan lalu, namanya semakin dikenali selepas ia menjadi tempat di mana virus korona misteri seperti Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) mula muncul dan menular.

Menurut data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2018, seramai 8.9 juta orang tinggal di bandar tengah China itu, sekali gus menjadikannya lebih kecil dari London tetapi jauh lebih besar dari Washington DC, Amerika Syarikat (AS).

Wuhan juga dikatakan bandar ke-42 terbesar di dunia dan ketujuh terbesar di China.

Jika dilihat pada saiz dan pengaruh ekonomi Wuhan, ia cukup untuk menjelaskan mengapa virus baharu itu boleh tersebar dengan begitu pantas di seluruh Asia sehingga sejauh ke AS.

Pendek kata, virus berkenaan tersebar luas kerana bandar Wuhan menerima jumlah kedatangan pelancong yang tinggi.

Salah seorang kakitangan menggunakan pengimbas haba di stesen kereta api Hankou di Wuhan, tengah wilayah Hubei, China. - Foto AFP
Salah seorang kakitangan menggunakan pengimbas haba di stesen kereta api Hankou di Wuhan, tengah wilayah Hubei, China. - Foto AFP

Lapangan Terbang Antarabangsa Wuhan mengendalikan kira-kira 20 juta penumpang pada 2016 dan menawarkan penerbangan langsung ke London, Paris, Dubai dan bandar lain di seluruh dunia.

Difahamkan, bandar Wuhan dibina di sepanjang sungai Yangtze dengan asas pembinaannya adalah dalam pembuatan teknologi tinggi serta pembuatan tradisional.

Sebanyak 230 daripada 500 syarikat besar di dunia seperti yang disenaraikan Global Fortune telah melabur di sana.

Terdapat juga pelaburan ketara dari Perancis yang mempunyai konsesi asing di Hankou, Wuhan, antara tahun 1886 dan 1943.

Selain itu, lebih 100 firma Perancis melabur di Wuhan dan pengeluar kereta jenama Peugeot-Citroen juga mempunyai kilang usaha sama dengan China di sana.

Wuhan juga boleh menjadi pintu masuk ke Three Gorges, sebuah kawasan pelancongan, empangan hidroelektrik dan stesen kuasa terbesar dunia dari segi kapasiti sejak 2012.

Oleh itu, meskipun virus misteri berasal dari pasar makanan laut tempatan, tetapi aliran orang ramai keluar masuk dari Wuhan menjadi punca penularannya.

Kebimbangan semakin meningkat menjelang sambutan Tahun Baru Cina hujung minggu ini di mana jutaan penduduk dijangka pulang dan dikhuatiri akan memburukkan lagi keadaan.

Susulan itu, Suruhanjaya Kesihatan Negara China menggesa pelancong supaya mengelak membuat perjalanan ke Wuhan dan penduduk tempatan dinasihatkan tidak meninggalkan bandar tersebut.

Bagaimanapun, dengan status Wuhan sebagai salah satu tempat paling besar dan saling berhubung di dunia, tidak mustahil kes itu akan menjadi masalah antarabangsa. - Agensi


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!