'Mana nak cari lebih RM50,000 untuk ganti 20 motosikal hangus'

Mohd Zamri Ismail menunjukkan sebahagian rangka motosikal yang hangus dalam kejadian kebakaran pada 14 Jun lalu.
Mohd Zamri Ismail menunjukkan sebahagian rangka motosikal yang hangus dalam kejadian kebakaran pada 14 Jun lalu.
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Seorang pengusaha bengkel buntu untuk mendapatkan sejumlah wang bagi membayar ganti rugi 20 motosikal pelbagai jenama yang musnah dalam kebakaran di Kampung Bukit Rangin di sini pada 14 Jun lalu.

Mohd Zamri Ismail Abdullah, 24, berkata, dia memerlukan lebih RM50,000 untuk membayar ganti rugi kepada pelanggannya disebabkan motosikal berkenaan hangus 100 peratus.

"Saya buntu, mana hendak cari duit, saya kena bayar enam motosikal baharu (pelbagai jenama) pada harga RM10,000 dan selebihnya sekitar RM3,000 hingga RM4,000.

"Hendak buat pinjaman bank tidak boleh. Nak jual tanah pun saya tiada tanah, tapi saya perlu sediakan lebih RM50,000 untuk bayar ganti rugi ini," katanya pada Sinar Harian di sini pada Rabu.

Mohd Zamri Ismail
Mohd Zamri Ismail

ARTIKEL BERKAITAN: Dugaan menjelang raya, rumah, bengkel hangus depan mata

Sinar Harian melaporkan dugaan buat sebuah keluarga dan pemilik bengkel di Kampung Bukit Rangin menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha apabila rumah dan bengkel motosikal milik mereka musnah dalam kebakaran pada 14 Jun lalu.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan kebakaran melibatkan tiga rumah jenis separuh kekal dan sebuah bengkel.

Artikel Berkaitan:

Mohd Zamri Ismail melihat kesan bengkel motosikal miliknya yang terbakar di Kampung Bukit Rangin di sini.
Mohd Zamri Ismail melihat kesan bengkel motosikal miliknya yang terbakar di Kampung Bukit Rangin di sini.

Mohd Zamri Ismail yang lebih 10 tahun mengusahakan bengkel itu memberitahu, pertemuan dan rundingan dengan pemilik motosikal sudah diadakan bagi mendapatkan keputusan sama ada ganti rugi dibayar secara wang tunai atau motosikal terpakai.

Ujarnya, dalam pertemuan itu, mereka dapat melihat sendiri motosikal yang musnah.

"Mereka reda dan menganggap ini adalah suatu kejadian tidak diduga. Mereka menghantar motosikal ke bengkel saya untuk dibaiki kerosakannya, namun berlaku sebaliknya apabila musnah dijilat api.

"Ini semua berlaku di luar kawalan saya. Apa yang paling penting, saya perlu ambil tanggungjawab atas semua berlaku," katanya.

Menceritakan episod hitam itu, Mohd Zamri Ismail berkata, dia tidak berada di lokasi sewaktu kejadian kerana ke bandar Kuangan untuk membeli beberapa alatan gantian dan minyak pelincir.

Dia kemudian dihubungi ibu saudaranya yang memaklumkan kejadian itu dan apabila sampai semuanya musnah.

"Tiada ada apa yang dapat diselamatkan termasuk 25 unit motosikal pelbagai jenama.

"Selain pelbagai barangan, minyak pelincir dan alat ganti turut musnah selain wang tunai lebih RM600 hasil bayaran pelanggan," katanya yang kerugian lebih RM100,000.

Sehubungan itu, beliau berharap ada mana-mana pihak yang sudi membantu meringankan beban dihadapinya pada ketika ini.

Katanya, kejadian ini meragut seluruh semangat untuk berjaya dalam perniagaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!