Pengunjung Zoo Melaka sanggup beratur lebih dua jam untuk masuk percuma

Pengunjung dari dalam dan luar Melaka beratur panjang untuk masuk percuma ke Zoo Melaka sempena cuti umum negeri bagi memperingati Peristiwa Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu hari ini. - Foto: Bernama
Pengunjung dari dalam dan luar Melaka beratur panjang untuk masuk percuma ke Zoo Melaka sempena cuti umum negeri bagi memperingati Peristiwa Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

MELAKA - Orang ramai mula beratur di Zoo Melaka seawal jam 7 pagi selepas kerajaan negeri menawarkan kemasukan percuma ke destinasi pelancongan itu sempena cuti umum Peristiwa Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu hari ini.

Seorang pengunjung, Mohd Noraidil Mohd Ali, 45, berkata, dia bersama isteri dan tiga anaknya beratur sejak jam 7.15 pagi lagi sebelum dibenarkan masuk dua jam kemudian ke zoo yang mula dibuka kepada umum pada jam 9 pagi.

Peniaga kedai makan itu berkata, walaupun terpaksa bersesak dengan ratusan pengunjung lain, dia gembira kerana hajat membawa tiga anak berusia 11 hingga 19 tahun ke ikon pelancongan negeri itu tercapai.

"Saya ingatkan hanya kami sekeluarga yang sampai awal, tetapi terkejut apabila melihat ramai lagi yang lebih awal daripada kami...ada yang dari 4 pagi sudah beratur. Kami sanggup beratur lama kerana bukan selalu dapat masuk percuma ke zoo ini, selain ingin bawa anak-anak yang sedang cuti sekolah berjalan-jalan.

"Kali terakhir datang ke Zoo Melaka lapan tahun lepas dan harga tiket ketika itu hanya sekitar RM7, tetapi kini mencecah RM30 seorang, jadi bila percuma seperti hari ini boleh jimat banyak," katanya pada Selasa.

Pengunjung dari dalam dan luar Melaka beratur panjang untuk masuk percuma ke Malaysia Heritage Studios (MHS) sempena cuti umum pada Selasa. - Foto: Bernama
Pengunjung dari dalam dan luar Melaka beratur panjang untuk masuk percuma ke Malaysia Heritage Studios (MHS) sempena cuti umum pada Selasa. - Foto: Bernama

Mohd Noraidil berkata, selepas ke Zoo Melaka, mereka sekeluarga bercadang untuk ke Malaysia Heritage Studios (MHS) sebelum ke sambutan Peristiwa Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu yang akan diadakan di Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Banda Hilir malam ini.

Suri rumah, Norhayati Shamsudin, 42, dari Bukit Katil di sini berkata, dia bersama 14 lagi ahli keluarganya mengambil peluang tawaran kemasukan percuma itu untuk berkunjung ke Zoo Melaka kerana kali terakhir melawat pusat pelancongan itu kira-kira 12 tahun lepas.

Artikel Berkaitan:

"Kami beratur seawal 7.30 pagi...masa mula sampai tadi memang bersemangat tetapi disebabkan cuaca panas ditambah pula orang terlalu ramai dan bersesak untuk masuk, mungkin lepas ini kami terus balik dan tidak jadi untuk ke tempat lain.

"Begitu pun, kami tetap berterima kasih kepada pengurusan Zoo Melaka dan kerajaan negeri kerana memberi peluang kepada rakyat tempatan masuk percuma ke beberapa destinasi pelancongan hari ini,” katanya.

Remaja orang kurang upaya (OKU), A Kirthijan, 17, dari Muar, Johor, berkata, dia bersama ibu bapa dan adik perempuannya bertolak dari rumah seawal jam 7 pagi untuk melawat beberapa pusat pelancongan di negeri itu.

Dia yang menggunakan bantuan 'walker' kerana sukar berjalan berterima kasih kepada orang awam yang membantu dan memudahkan pergerakannya untuk masuk ke Zoo Melaka.

"Saya teruja untuk datang ke Melaka terutama dapat berkunjung ke zoo dan selepas ini kami bercadang untuk mandi di Melaka Wonderland Theme Park & Resort," katanya.

Pelancong dari Ipoh, Perak, P Yeogasundari, 30-an yang tiba di Melaka semalam bersama suami dan dua anaknya pula berkata mereka agak terkejut dengan kehadiran pengunjung yang begitu ramai di Zoo Melaka dan MHS.

"Kami menginap di sebuah hotel di Banda Hilir dan hari ini mengikut perancangan akan ke Zoo Melaka tetapi tidak dapat masuk kerana terlalu ramai orang, jadi tukar perancangan ke MHS.

"Di MHS ini juga ramai orang, kami tidak tahu hari ini merupakan cuti umum negeri ini dan rakyat tempatan dapat masuk ke beberapa pusat pelancongan secara percuma,” katanya yang akan pulang ke Ipoh esok.

Selain Zoo Melaka dan MHS, beberapa lokasi pelancongan turut dibuka secara percuma sempena cuti umum hari ini termasuk Melaka River Cruise, Menara Taming Sari, Melaka Wonderland Theme Park & Resort, Laman Laut Melaka, Muzium di bawah Perbadanan Muzium Melaka, Balai Cerap Kompleks Falak Al-Khawarizmi serta lima kelab golf di negeri itu. - Bernama