KPKT salur lebih RM519 juta untuk 28 projek di Teluk Intan

Kor Ming mengendalikan jengkaut simbolik merasmikan pembangunan Bandar PR1MA pertama negara di Teluk Intan.
Kor Ming mengendalikan jengkaut simbolik merasmikan pembangunan Bandar PR1MA pertama negara di Teluk Intan.
A
A
A

TELUK INTAN - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan sebanyak RM519.7 juta bagi pelaksanaan projek-projek pembangunan dan naik taraf di kawasan Parlimen Teluk Intan tahun ini.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, peruntukan menerusi Program Sentuhan Kasih itu bertujuan bagi menaik taraf 28 projek infrastruktur awam, pembangunan, perumahan dan landskap.

Menurut beliau, pembangunan bandar PR1MA Teluk Intan pertama negara yang dianggarkan bernilai RM511 juta menawarkan 1,500 kediaman mampu milik di kawasan seluas lebih 56 hektar.

"Bandar yang dibina bersebelahan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Kampus Teluk Intan ini akan dilengkapi kemudahan komuniti.

"Harga jualan pun amat berpatutan untuk fasa pertama melibatkan 268 unit rumah mampu milik. Ini menunjukkan komitmen KPKT untuk terus melangkah ke hadapan membina ke arah 500,000 unit rumah mampu milik di seluruh negara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis perasmian dan pecah tanah Bandar PR1MA Teluk Intan, Mukim Durian Sebatang di sini pada Jumaat.

Kor Ming (tiga dari kiri) melihat pelan pembangunan Bandar PR1MA Teluk Intan.
Kor Ming (tiga dari kiri) melihat pelan pembangunan Bandar PR1MA Teluk Intan.

Hadir sama, Timbalan KPKT, Datuk Aiman Athirah Sabu; Ketua Setiausaha KPKT, Datuk Wira M Noor Azman Taib dan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Nor Hisham Mohamad.

Artikel Berkaitan:

Kor Ming berkata, sebanyak RM8.7 juta diperuntukkan bagi melaksanakan projek naik taraf infrastruktur awam termasuk 11 projek di Kampung Angkat Madani, Kampung Bahagia di sini.

"Projek tersebut antaranya melibatkan naik taraf pintu gerbang, jeti, dewan komuniti melibatkan projek bernilai RM2.5 juta yang akan siap menjelang akhir tahun ini.

"Projek lain yang dilaksanakan adalah program baik pulih rumah, menaik taraf tangki air dan kerja-kerja berkaitan di Pangsa Sri Nibong, Jalan Sungai Nibong serta Pangsa Ria, Jalan Sultan Abdullah serta menaik taraf medan selera, lampu jalan, longkang serta kawasan kolam takungan," katanya.

Pada majlis itu, Kor Ming turut menyaksikan sesi penyerahan dokumen Memorandum Persefahaman (MOU) antara PR1MA dengan Cagamas Berhad berkaitan penyelesaian pembiayaan perumahan, termasuk pembiayaan hijau khususnya untuk memenuhi keperluan pembeli rumah bagi semua projek PR1MA.

Penyerahan MOU lain melibatkan Bank Muamalat Malaysia Berhad, MBSB Bank Berhad, Bank Simpanan Nasional, Koperasi Co-opbank Pertama Malaysia Berhad dan Affin lslamic Bank Berhad.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!