Projek DRT: Pemuda MCA buat laporan polis

Laporan Sinar Harian pada Rabu
Laporan Sinar Harian pada Rabu
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda MCA Petaling Jaya dan Bangi membuat laporan polis berhubung isu pelantikan Asia Mobility Technologies Sdn Bhd (Asia Mobility) sebagai syarikat pengendali perkhidmatan Projek Rintis Demand Responsive Transit (DRT) di Selangor.

Ketua Pemuda MCA Petaling Jaya, Andy Teoh berkata, laporan itu dibuat bagi menyahut kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menegaskan kes itu wajar disiasat sekiranya terdapat laporan.

Menurutnya, tujuan laporan itu dibuat bukanlah untuk menuding jari terhadap mana-mana pihak, tetapi untuk mendapatkan penjelasan.

"Laporan polis ini turut membuktikan komitmen MCA untuk memainkan peranan semak dan imbang terhadap kerajaan, demi memastikan kepentingan rakyat terus dijaga dengan baik serta memastikan pentadbiran cekap, telus dan bertanggungjawab kepada rakyat.

"Projek tersebut membabitkan wang rakyat dan wujudnya unsur konflik kepentingan kerana parti DAP adalah salah satu parti komponen yang menunjangi kerajaan negeri Selangor," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Pelantikan Asia Mobility sebagai syarikat pengendali DRT dipertikai kerana dimiliki dan diuruskan oleh suami kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Andy berkata, pihaknya bimbang jika terdapat unsur penyalahgunaan kuasa sepanjang proses rundingan terus untuk pemberian projek itu berjalan.

"Saya turut khuatir sekiranya sebelum proses rundingan terus ini dilakukan, pihak kerajaan negeri Selangor tidak didedahkan dengan sebarang kemungkinan wujudnya konflik kepentingan berkenaan dengan syarikat tersebut dengan Hannah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Justeru, katanya, pelbagai pihak telah tampil meluahkan keraguan dan rasa kecewa terhadap kes itu yang dilihat bercanggah dengan janji-janji DAP untuk reformasi seperti pemansuhan proses tender secara rundingan terus dan menghapuskan amalan kronisme atau nepotisme.

"Antara yang turut melahirkan kebimbangan ini ialah UMNO juga merupakan sebahagian Kerajaan Perpaduan dan badan bukan kerajaan seperti Transparency International - Malaysia (TI-M).

Sinar Harian pada Rabu melaporkan, kerajaan Selangor menyangkal dakwaan pihak tertentu kononnya pelantikan Asia Mobility sebagai syarikat pengendali perkhidmatan DRT dilakukan secara rundingan.

Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han berkata, syarikat itu dan sebuah syarikat lagi iaitu Badan Bas Coach Sdn Bhd dilantik berdasarkan kelulusan Proof of Concept (POC) secara proses Request-for-Proposal (RfP).

Pada 27 Mei lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan kontrak yang diterima oleh suami Hannah daripada kerajaan Selangor tidak mengandungi sebarang kesalahan kerana tender itu diberikan oleh satu entiti lain yang tidak mempunyai kaitan dengan tugas dan tanggungjawab Hannah.

Pada Selasa, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan kuasa kepada pihak bertanggungjawab untuk siasatan isu pemberian kontrak DRT oleh Kerajaan Selangor.

Anwar menegaskan, sekiranya ada laporan, pihak bertanggungjawab perlu bersikap telus dalam proses siasatan.

Sebelum itu, pengguna aplikasi X @RakyatAduan mempersoal mengenai pelantikan Asia Mobility dalam projek DRT di Selangor.

Ia susulan dakwaan syarikat itu dimiliki suami Hannah selain persoalan sama ada pelantikan syarikat itu dilakukan sebagai tender terbuka.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!