Projek DRT: Selangor digesa tarik semula pelantikan Asia Mobility

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

KUALA SELANGOR - Kerajaan Selangor digesa menarik semula keputusan pelantikan Asia Mobility Technologies Sdn Bhd (Asia Mobility) sebagai syarikat pengendali perkhidmatan Projek Rintis Demand Responsive Transit (DRT) di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Datuk Harrison Hassan berkata, kerajaan negeri perlu menghentikan pelantikan Asia Mobility kerana ia secara jelas dimiliki dan diuruskan oleh suami kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Menurutnya, amalan secara langsung itu telah menimbulkan persepsi penyalahgunaan kuasa dan nepotisme apabila syarikat milikan ahli keluarga seorang menteri diberikan kontrak rundingan terus dalam perolehan tender bernilai RM25 juta.

"Kita meminta kerajaan Selangor menarik semula pelantikan Asia Mobility demi menuntut pentadbiran bersih, berintegriti dan bebas daripada konflik kepentingan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Harrison turut meluahkan rasa kecewa dengan pandangan dangkal, naif dan tidak jujur sesetengah pihak yang mempertahankan keputusan terbabit kononnya Hannah tidak mempunyai kaitan dengan pelantikan syarikat tersebut.

"Kenyataan yang dikemukakan oleh Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han pada 24 Mei lalu juga tidak sepenuhnya menjawab persoalan wujudnya amalan nepotisme sekali gus mempamerkan kegagalan dalam mendukung semangat integriti seperti saranan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam titah baginda bertarikh 7 Februari 2024," jelasnya.

Beliau berkata, isu yang menimbulkan pertikaian umum adalah bagaimana kelulusan yang diperoleh daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) boleh digunakan sebagai justifikasi pelantikan tersebut.

"APAD bernaung di bawah Menteri Pengangkutan baik dari segi kebersamaan dalam kabinet menteri mahu pun keahlian dalam parti DAP," tambahnya.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian pada 24 Mei lalu melaporkan, pelantikan Asia Mobility sebagai salah satu syarikat pengendali DRT mengikut prosedur ditetapkan kerajaan Selangor.

Sze Han berkata, Jawatankuasa Pelaksanaan Projek Rintis DRT mengambil pendekatan bersetuju melantik syarikat berkenaan serta Badan Bas Coach Sdn Bhd (Mobi) (Badan Bas) mengambil kira kelulusan Proof of Concept (POC) oleh APAD.

Pada Selasa, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan kuasa kepada pihak bertanggungjawab untuk siasatan isu pemberian kontrak DRT oleh Kerajaan Selangor.

Anwar menegaskan, sekiranya ada laporan, pihak bertanggungjawab perlu bersikap telus dalam proses siasatan.

Sebelum itu, pengguna aplikasi X @RakyatAduan mempersoal mengenai pelantikan Asia Mobility dalam projek DRT di Selangor.

Ia susulan dakwaan syarikat itu dimiliki suami kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh selain persoalan sama ada pelantikan syarikat itu dilakukan sebagai tender terbuka.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!