Geng curi kabel dikesan aktif di Seksyen 3, Shah Alam

SHAH ALAM – Tindakan sekumpulan lelaki dipercayai aktif mencuri kabel di kawasan Seksyen 3, di sini akhirnya terbongkar selepas rakaman video memaparkan kegiatan mereka tular di media sosial baru-baru ini.
Rakaman tersebut menunjukkan beberapa individu menggunakan beberapa kenderaan termasuk sebuah pacuan empat roda dipercayai sedang melakukan kegiatan itu pada waktu malam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, siaran media dikeluarkan susulan penularan video berkenaan yang mendapat perhatian masyarakat setempat.
Menurutnya, satu laporan polis telah dibuat oleh seorang saksi lelaki berusia lingkungan 30-an yang juga penduduk kawasan berkenaan.
"Kejadian disedari pada 20 Februari 2026 kira-kira jam 5 pagi ketika saksi sedang tidur sebelum terdengar bunyi bising di luar rumahnya.
"Saksi kemudiannya bangun dan mendapati sekumpulan lelaki tidak dikenali sedang memotong kabel di kawasan berhampiran,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, saksi cuba mengekori suspek selepas menyedari perbuatan tersebut.
Bagaimanapun, menurutnya, suspek bertindak agresif apabila berpatah balik dan cuba mengejar saksi selepas menyedari kehadirannya.
"Bimbang akan keselamatan diri, saksi tidak meneruskan tindakan dan suspek kemudiannya melarikan diri dari lokasi kejadian,” ujarnya.
Ramsay berkata, siasatan awal mendapati kumpulan berkenaan dipercayai aktif dan mahir dalam kegiatan mencuri kabel bagi mendapatkan besi tembaga.
Katanya, modus operandi digunakan adalah dengan mengorek lubang kabel sebelum menarik keluar kabel tersebut dan memotongnya di lokasi yang lebih sunyi.
"Nilai kerugian masih dalam siasatan dan usaha mengesan serta menangkap suspek-suspek yang terlibat sedang giat dijalankan," katanya.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
"Orang ramai yang melihat sebarang aktiviti mencurigakan atau kegiatan mencuri kabel diminta segera menghubungi talian kecemasan 999.
"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut berkaitan kejadian ini boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Muhammad Zamri Abdul Rahman di talian 0111-6652402 bagi membantu siasatan,” katanya.
Ringkasan AI
- Tindakan sekumpulan lelaki mencuri kabel di Seksyen 3, Shah Alam terbongkar melalui video tular di media sosial
- Rakaman memaparkan beberapa lelaki menggunakan kenderaan, termasuk pacuan empat roda melakukan pencurian pada waktu malam
- Laporan polis dibuat oleh seorang saksi lelaki penduduk kawasan itu yang terjaga akibat bunyi bising
- Suspek bertindak agresif dan cuba mengejar saksi yang cuba mengekori mereka
- Siasatan awal mendapati modus operandi mencuri kabel bagi mendapatkan besi tembaga, kes disiasat dibawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

