Penantian berakhir, dua anak dapat sijil lahir

Siti Zulaiha Ashikin bersama kedua anaknya setelah menerima sijil kelahiran.
Siti Zulaiha Ashikin bersama kedua anaknya setelah menerima sijil kelahiran.
A
A
A

BESUT - Penantian pasangan suami isteri dari Kampung Pengkalan Ubi Keling, Kuala Besut di sini yang mengalami kesukaran mendaftarkan sijil kelahiran anak mereka berakhir selepas berjaya memperolehnya pada Rabu.

Siti Zulaiha Ashikin Adam, 33, melahirkan rasa syukur kerana boleh mendaftar persekolahan anaknya, Anis Suhada, 7, susulan berjaya memperoleh dokumen sijil kelahiran tersebut.

Menurutnya, kemiskinan hidup menjadi faktor utama dia dan suaminya, Suheri Mat Noor, 41, lambat mendaftarkan dokumen sijil kelahiran kedua anaknya iaitu Anis serta Rais Rayyan, 1.

"Saya juga sukar bergerak kerana tidak mempunyai kenderaan menyebabkan kelahiran kedua anak tidak didaftarkan.

"Setelah berjaya mendapat sijil kelahiran ini membolehkan saya mendaftar anak sekolah pada minggu hadapan.

Badrul Hisham (kanan) bersama Siti Zulaiha Ashikin (kiri) dan anak-anaknya.
Badrul Hisham (kanan) bersama Siti Zulaiha Ashikin (kiri) dan anak-anaknya.

"Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang banyak membantu dalam proses mendapatkan dokumen sijil kelahiran untuk kedua anak saya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Penyerahan Sijil Kelahiran di Kampung Pengkalan Ubi Keling, Kuala Besut di sini pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Turut hadir, Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Badrul Hisham Alias dan Pengarah JPN Negeri Terengganu, Mohamad Nasir Kareem.

Badrul Hisham (kanan) menyerahkan sijil kelahiran kepada Siti Zulaikha (kiri)
Badrul Hisham (kanan) menyerahkan sijil kelahiran kepada Siti Zulaikha (kiri)

Sementara itu, Badrul Hisham berkata, pihaknya sentiasa prihatin dan komited dalam menjalankan aktiviti turun padang yang melibatkan pelbagai lapisan masyarakat selaras dengan slogan Jabatan 'Rakyat Di Hati JPN’.

Justeru, beliau menasihatkan ibu bapa supaya tidak mengambil mudah berkaitan pendaftaran kelahiran anak dan sentiasa ambil cakna peraturan-peraturan yang ditetapkan.

Menurutnya, ia bagi memastikan supaya tidak mendatangkan masalah di kemudian hari seperti akses kepada perkhidmatan kesihatan dan pendidikan.

"Selain itu, kita juga menyeru agar orang ramai untuk memaklumkan kepada mana-mana 212 pejabat JPN seluruh Malaysia bagi membantu mana-mana individu yang mengalami masalah dokumen pengenalan diri.

"Setiap kelahiran yang berlaku di Malaysia wajib didaftarkan dalam tempoh 60 hari dari tarikh kelahiran bagi Semenanjung Malaysia manakala 14 hari bagi negeri Sabah dan Sarawak," jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!