Suami isteri cedera dilanggar pemandu mabuk

MPV milik suspek mengalami kerosakan setelah melanggar motosikal dinaiki pasangan suami isteri dan kereta di Ipoh. Foto: ihsan polis
MPV milik suspek mengalami kerosakan setelah melanggar motosikal dinaiki pasangan suami isteri dan kereta di Ipoh. Foto: ihsan polis
A
A
A

IPOH - Sepasang suami isteri tercedera selepas motosikal dinaiki mereka dilanggar pemandu mabuk dalam kejadian di lampu isyarat Jalan Raja Ashman Shah di sini pada Ahad.

Dalam kejadian sekitar jam 1.15 pagi itu, lelaki yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Nissan Elgrand turut melanggar sebuah kereta.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, siasatan mendapati suspek berusia 44 tahun itu sedang memandu MPV dari Jalan Ashman Shah menuju ke Jalan Raja Musa Aziz.

"Sampai di tempat kejadian, dia terlanggar sebuah motosikal menyebabkan penunggang dan pembonceng berusia 27 dan 32 tahun mengalami cedera ringan.

"Suspek bertindak mengundur kenderaan lalu terlanggar sebuah kereta sebelum membuat pusingan U dan masuk ke Jalan Kamaruddin Isa.

"Pemandu MPV tersebut kemudian telah hilang kawalan selepas melanggar penghadang batu di Jalan Sybil Kathigasu," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut beliau, suspek ditahan dan hasil ujian pernafasan mendapati kadar alkohol melebihi had yang ditetapkan.

"Semakan mendapati suspek mempunyai 20 rekod saman trafik termasuk empat kesalahan kemalangan.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu di bawah pengaruh minuman yang memabukkan," katanya.

Abang Zainal Abidin berkata, saksi kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Edwin Tang Chiew Song di talian 016-5506863 atau tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!