Terengganu hantar pelajar perubatan sambung pengajian ke UniSHAMS

Ahmad Samsuri (tiga dari kanan) bersama Muhammad Sanusi (tiga dari kiri) menyaksikan majlis menandatangani MoA antara YT bersama UniSHAMS di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu pada Selasa.
Ahmad Samsuri (tiga dari kanan) bersama Muhammad Sanusi (tiga dari kiri) menyaksikan majlis menandatangani MoA antara YT bersama UniSHAMS di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu pada Selasa.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu mengambil langkah menghantar pelajar bidang perubatan menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan bagi menangani masalah peningkatan kos pendidikan di luar negara.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri memilih Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mua'dzam Shah (UniSHAMS) bagi program Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS).

Menurutnya, pemilihan universiti yang beroperasi di Kedah itu merupakan antara usaha kerajaan mewujudkan kerjasama strategik bersama empat negeri ditadbir Perikatan Nasional (PN) yang dikenali sebagai State-Government 4 (SG4).

"Kerjasama ini bukan sahaja melibatkan segmen pembangunan pendidikan namun meliputi semua bidang bagi tujuan mencapai kesejahteraan bersama.

"Kerajaan negeri sentiasa memberi penekanan kepada pendidikan dalam memastikan semua rakyat berpeluang mendapatkan pendidikan yang sempurna dan terbaik.

"Saya percaya, prinsip ini akan melahirkan modal insan berkualiti dalam pelbagai bidang yang akan menyumbangkan kembali kepada kesejahteraan negeri dan negara," katanya ketika berucap sempena majlis menandatangani memorandum perjanjian (MoA) antara Yayasan Terengganu (YT) bersama UniSHAMS di Wisma Darul Iman di sini, pada Selasa.

Hadir sama, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Negeri, Datuk Satiful Bahri Mamat.

Menurut Ahmad Samsuri, sebelum ini YT telah menghantar pelajar terbaik negeri dalam bidang perubatan dan pergigian untuk menyambung pengajian ke Timur Tengah seperti Jordan dan Mesir di bawah Biasiswa Skim Pelajar Cemerlang.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sambutan terhadap program itu amat menggalakkan, namun atas faktor global seperti ketidakstabilan ekonomi serta ketidaktentuan geopolitik menyebabkan kos pengajian semakin meningkat saban tahun.

"Sebagai langkah proaktif bagi menangani situasi itu, kerajaan negeri berhasrat membuka laluan pengajian dalam negara sebagai alternatif membolehkan lebih ramai anak Terengganu berpeluang mengikuti program itu.

"Kita telah memilih UniSHAMS yang merupakan satu-satunya universiti swasta milik penuh kerajaan negeri Kedah yang menawarkan yuran pengajian bagi program MBBS dengan kadar paling rendah berbanding institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) lain.

"Setakat ini seramai 13 pelajar kita telah menyambung pengajian di IPT itu," katanya.

Sementara itu, Satiful Bahri berkata, pihak pengurusan mengambil pendekatan untuk memilih IPT tempatan yang menawarkan kos lebih rendah dan dalam masa yang sama setaraf dengan IPT di luar negara.

Katanya, UniSHAMS dipilih kerana memiliki kualiti, tenaga pengajar, fasiliti serta kos paling rendah berbanding IPT lain.

"Untuk ijazah perubatan atau pergigian di luar negara, seramai 50 orang pelajar telah memperoleh tajaan sehingga hampir RM780,000 setiap seorang bagi tempoh pengajian selama enam tahun dengan anggaran perbelanjaan keseluruhan RM32 juta.

"Daripada jumlah itu, seramai 942 orang mengikuti pengajian di universiti dalam negara dan 105 mengikuti pengajian di luar negara dalam bidang kritikal seperti perubatan, pergigian, kejuruteraan, sains dan teknologi, perakaunan termasuk perbankan Islam dan al-Quran Wal Qiraat," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!