10,000 pengunjung dijangka terima informasi lanjut pengajian tinggi

Pelajar-pelajar mengambil peluang melawat ke gerai pameran sempena Pameran Jom Masuk U (JMU) Zon Timur 1 2024.
Pelajar-pelajar mengambil peluang melawat ke gerai pameran sempena Pameran Jom Masuk U (JMU) Zon Timur 1 2024.
A
A
A

BACHOK - Seramai 10,000 pengunjung dijangka menerima manfaat informasi menerusi Pameran Jom Masuk U (JMU) Zon Timur 1 2024 yang berlangsung dua hari di Dewan Tuanku Canselor (DTC), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) hingga Ahad.

Program anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan dihoskan oleh UMK menyediakan 62 reruai pempamer terdiri universiti, institusi awam, institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dan agensi kerajaan bakal menerima kunjungan kalangan pelajar sekolah serta ibu-bapa.

Naib Canselor UMK, Datuk Prof Dr Razli Che Razak berkata, Program Jom Masuk U menjadi saluran utama bagi menyebar luas maklumat mengenai dasar pengambilan dan pemilihan kemasukan ke universiti awam, IPTS, politeknik dan institusi latihan kemahiran antaranya syarat kemasukan terkini, program pengajian baharu yang ditawarkan di agensi bawah kementerian serta memberi pendedahan berkenaan pelaksanaan dasar-dasar kerajaan berkaitan.

Simbolik serahan sijil daripada Prof Dr Razli (dua dari kiri) kepada wakil UMK@School Sekolah Angkat.
Simbolik serahan sijil daripada Prof Dr Razli (dua dari kiri) kepada wakil UMK@School Sekolah Angkat.

Beliau berkata, ini adalah satu langkah proaktif dalam memastikan bahawa setiap individu mempunyai peluang yang sama untuk mengakses pendidikan berkualiti.

“Program ini juga membantu pelajar sekolah untuk memahami pelbagai kursus ditawarkan di universiti dan prospek kerjaya.

“Dengan pengetahuan yang diperolehi, mereka dapat membuat pilihan pendidikan sesuai dengan minat dan bakat anak-anak,” katanya sempena perasmian Program Jom Masuk U 2024 Zon Timur 1, di UMK Bachok, Kelantan, hari ini.

Artikel Berkaitan:

Peserta yang menghadiri Pameran Jom Masuk U (JMU) Zon Timur 1 2024.
Peserta yang menghadiri Pameran Jom Masuk U (JMU) Zon Timur 1 2024.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Datuk Prof Dr Nik Maheran Nik Muhammad.

Selainnya, juga berlangsung pelancaran majlis Penyerahan UMK@School: Sekolah Angkat, Penyerahan Sijil Duta Akademik dan Perasmian Buku Penasihatan Akademik.

Prof Dr Razli berkata, inisiatif yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi terbabit menyokong dasar Malaysia Madani.

“Sebagai contoh dasar bagi memastikan laluan khas diberikan kepada pemohon kalangan orang kurang upaya, Orang Asli, atlet dan B40 bagi kemasukan tahun 2023, UPU menawarkan lebih 40,000 tempat di IPTA kepada golongan ini dan seramai 3,383 berjaya mendaftar di UMK.

“Kami mahu seramai mungkin pelajar memasuki institusi pendidikan tinggi dan menghayati kuasa transformatif ilmu pendidikan dan seterusnya merancang masa depan yang lebih baik kepada generasi kini dan kepada masa depan negara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, 22 sekolah angkat yang terpilih daripada dari seluruh negeri Kelantan bagi Program UMK@School.

“Program bertujuan mendekati kumpulan pelajar sekolah khususnya B40.

“Program menyasarkan calon lepasan Sijil Tinggi Pengajian Malaysia dan setaraf yang tercicir daripada kemasukan ke pendidikan tinggi sebelumnya untuk memohon secara terus ke program pengajian yang ditawarkan di UMK,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!