PDRM nafi dakwaan polis gagal buat siasatan isu saham RM3.5 juta

Ramli ketika Sidang Media Khas Pengarah JSJK di Menara KPJ pada Isnin. Foto Bernama
Ramli ketika Sidang Media Khas Pengarah JSJK di Menara KPJ pada Isnin. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan dakwaan Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) yang mendakwa PDRM gagal membuat siasatan terhadap satu laporan berhubung isu jual beli dan pindah milik saham syarikat melibatkan kerugian RM3.5 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, Setiausaha Agung MHO, Datuk Seri Hishammuddin Hashim menerusi kenyataannya yang tular di media sosial mendakwa siasatan kes itu diklasifikasikan No Further Action (NFA) sedangkan terdapat bukti berlakunya penipuan.

Beliau berkata, siasatan sewajarnya dilakukan oleh pegawai penyiasat yang terlibat dalam kes terbabit dan hasil siasatan mendapati pihak pengadu menerima sekitar 45 peratus daripada nilai keseluruhan pembelian saham yang dipersetujui.

"Lagipun, dalam perjanjian yang ditandatangani pengadu juga jelas menyatakan klausa bahawa pengadu mempunyai hak untuk memfailkan saman sivil terhadap pembeli sekiranya wang pembelian saham itu gagal dilunaskan dalam tempoh ditetapkan," katanya dalam sidang media di Menara KPJ di sini pada Isnin.

Beliau berkata, kes berkenaan sudah dirujuk dan ditaklimatkan kepada Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur pada 30 Januari lepas yang seterusnya bersetuju bahawa isu dalam kes ini menjurus kepada kesalahan sivil, maka kes kekal diklasifikasikan sebagai NFA.

"Ditegaskan bahawa PDRM telah mengambil tindakan sewajarnya selaras dengan peruntukan undang-undang bagi menyiasat kes ini dan pihak pengadu mempunyai hak di bawah undang-undang untuk memfailkan saman sivil terhadap pembeli bagi mendapatkan semula kerugiannya.

"Sewajarnya, Setiausaha Agung MHO yang difahamkan juga seorang peguam, mewakili pengadu untuk memfailkan tuntutan berkenaan di mahkamah sivil,” katanya.

Beliau berkata, isu berkaitan ingkar perjanjian tidak boleh sewenang-wenangnya ditakrifkan sebagai kes penipuan dan jika logik ini digunakan maka ramai pegawai bank membuat laporan polis kerana ramai peminjam yang gagal membayar hutang kereta, hutang rumah dan sebagainya.

Artikel Berkaitan:

"Justeru, semua pihak jangan takrifkan undang-undang mengikut kehendak dan selera sendiri,” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!