Polis tahan lelaki Israel bersama enam senjata api di Kuala Lumpur

Razarudin. Foto Bernama
Razarudin. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menahan seorang lelaki warga Israel di sebuah hotel di Jalan Ampang dekat sini pada Rabu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, semasa pemeriksaan dilakukan, suspek menyatakan menggunakan pasport Perancis masuk ke negara ini.

Bagaimanapun beliau berkata, suspek yang berusia 36 tahun itu kemudiannya memberikan satu lagi pasport miliknya yang mempunyai taraf kewarganegaraan Israel.

"Dalam pemeriksaan itu, pihak Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman merampas enam pucuk senjata api bersama 200 butir peluru di bilik hotel tersebut.

"Semasa soal siasat dijalankan, polis mendapati suspek telah masuk ke Malaysia pada 12 Mac lalu melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan menggunakan pasport Perancis," katanya dalam sidang akhbar pada Jumaat.

Razarudin berkata, pemeriksaan di bilik hotel menemukan senjata api jenis Glock 19 Marine, Glock 17 Gen 4, Smith and Wesson, Sih Sauer dan Stoeger serta peluru yang diletakkan di dalam beg.

Kata beliau, siasatan mendapati kesemua senjata berkenaan dibeli suspek sebaik tiba di negara ini dengan menggunakan mata wang kripto.

Jelas beliau, pembayaran senjata yang dibeli itu masih belum diketahui dan siapa yang menerima bayaran bagi transaksi tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Soal siasat Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman terhadap suspek mendapati, dia datang ke negara ini untuk mencari seorang individu yang juga rakyat negaranya untuk dibunuh berkaitan isu keluarga.

“Bagaimanapun, kita masih menjalankan siasatan dan berkemungkinan suspek mempunyai agenda lain datang ke negara ini," ujarnya.

Kata beliau, polis percaya suspek tidak bergerak bersendirian dan berkemungkinan mempunyai rangkaian dengan individu tertentu yang masih belum dikenal pasti.

“Dia telah masuk ke negara ini menaiki penerbangan melalui Emiriyah Arab Bersatu (UAE) ke Malaysia,” jelasnya.

Kata Razarudin, suspek juga dipercayai berpindah randah dan tinggal di dua atau tiga hotel berlainan sebelum diberkas.

“Pada mulanya kita mendapat maklumat awam pergerakannya yang meragukan, sebelum kita mengekori dan bertindak menahan suspek," ujarnya.

Dalam pada itu, ditanya adakah lelaki berkenaan merupakan ejen Israel, Razarudin berkata, siasatan masih dijalankan.

“Kita siasat ke arah itu,” katanya ringkas sambil menyatakan suspek direman sejak Rabu hingga 31 Mac ini.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28