TNB, SPRM, ST tandatangani laporan penambahbaikan pengurusan aset tenaga

Dari kiri Presiden memerangkap Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan; Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dan Ketua Pegawai Eksekutif ST, Datuk Ir Ts Abdul Razib Dawood ketika majlis menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola Penyelarasan dan Pengurusan Aset Tenaga Elektrik pada Isnin.
Dari kiri Presiden memerangkap Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan; Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dan Ketua Pegawai Eksekutif ST, Datuk Ir Ts Abdul Razib Dawood ketika majlis menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola Penyelarasan dan Pengurusan Aset Tenaga Elektrik pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan kerjasama Suruhanjaya Tenaga (ST) serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola Penyelarasan dan Pengurusan Aset Tenaga Elektrik demi menjamin kestabilan bekalan kepada rakyat.

Presiden memerangkap Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata, penambahbaikan itu dilakukan dengan meningkatkan pengawasan kamera litar tertutup (CCTV) secara bersasar di kawasan dikenal pasti terutama di Pencawang Masuk Utama (PMU).

Menurut beliau, pihaknya turut akan memasang barrel lock pada kotak meter pengguna yang berisiko tinggi dan sistem biometrik pada peti pembekal voltan rendah.

“TNB merancang membeli 5,000 unit barrel lock pada tahun 2024 menggunakan peruntukan Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR) tempoh ketiga (RP3) dengan pemasangan dijadualkan pada tahun 2025.

“Sistem biometrik tanpa kunci juga akan dipasang secara berpandu pada Pencawang Elektrik 11kV atau peti pembekal voltan rendah yang dikenalpasti berisiko tinggi, melibatkan 3,000 unit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola Penyelarasan dan Pengurusan Aset Tenaga Elektrik di Dewan Leo Moggie TNB, pada Isnin.

Majlis berkenaan turut dihadiri Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dan Ketua Pegawai Eksekutif ST, Datuk Ir Ts Abdul Razib Dawood.

Tambah Megat Jalaluddin, ini bukan kali pertama TNB dengan sokongan ST, bekerjasama dengan pihak berkuasa khususnya SPRM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak penguasa tempatan yang lain dalam membenteras perbuatan mengusik aset-aset oleh sindiket tertentu.

Artikel Berkaitan:

Ujar beliau, kerjasama yang diberikan oleh SPRM berjaya membongkar kegiatan sindiket beberapa tahun lalu.

“TNB tidak pernah berhenti daripada usaha memastikan keselamatan semua aset strategiknya dan sentiasa mengukuhkan integriti dalam kalangan warga kerjanya bagi membanteras budaya negatif seperti rasuah dan penyelewengan,” tegasnya.

Sementara itu, Azam berkata, SPRM bersedia bekerjasama dengan TNB untuk mengesan kelemahan dan menambah baik sistem serta tatakelola pengurusan aset demi menutup peluang berlakunya rasuah.

Menurutnya, tindakan pencegahan itu penting bagi mengurangkan ketirisan dan memastikan kelestarian pengurusan bekalan elektrik negara.

“Langkah proaktif itu terbukti melalui operasi Ops Power yang berhasil membongkar kes kecurian elektrik oleh sindiket perlombongan bitcoin, menyebabkan kerugian besar kepada TNB dan negara,” tambah beliau.

Mengulas lanjut, Abdul Razib berkata, hasil daripada operasi berkenaan, SPRM telah menjalankan sesi khidmat pemeriksaan dan perundingan ke atas TNB berkenaan pelakuan rasuah dalam aktiviti curi elektrik terutamanya yang melibatkan sindiket bitcoin.

Daripada kajian itu, beliau memaklumkan, terdapat ruang penambahbaikan yang boleh dilaksanakan bagi mengukuhkan pertahanan aset-aset tenaga elektrik daripada mudah diceroboh.

“Hasilnya, SPRM telah menyediakan kertas cadangan penambahbaikan ke atas pertahanan aset-aset TNB melalui Khidmat Nasihat Tatakelola Penyelarasan dan Pengurusan Aset Tenaga Elektrik di Malaysia.

“Beberapa sesi perbincangan dan perundingan telah diadakan antara SPRM dan ST, termasuk bersama pihak TNB. Pihak SPRM telah selesai dengan Laporan Khidmat Nasihat ke atas TNB dan seterusnya untuk laporan tersebut ditandatangani pada pagi ini,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!