'Arwah rajin solat di masjid setiap waktu'

Saadiah ketika ditemui petugas media pada Ahad.
Saadiah ketika ditemui petugas media pada Ahad.
A
A
A

MAKKAH - [DIKEMAS KINI] "Arwah seorang yang pendiam dan tidak cakap banyak. Sebelum meninggal dunia arwah tidak tunjuk perangai pelik," kata Saadiah Bakar, 72, isteri kepada jemaah haji Malaysia pertama yang meninggal dunia di sebuah hospital di Makkah pada Jumaat.

Allahyarham Abnil Hajar Ismail, 72, yang merupakan jemaah haji daripada kumpulan penerbangan KT03 meninggal dunia di Hospital King Fahd akibat pembuluh darah pecah.

Allahyarham disemadikan pada jam 5.22 pagi di Perkuburan Al-Sharaya, di sini serta disembahyangkan di Masjidil Haram selepas solat Subuh.

Saadiah berkata, suaminya tidak menunjukkan sebarang petanda sakit sebelum hari kejadian hanya mengadu sakit belakang dan lenguh badan pada pagi Jumaat.

“Arwah tiada sebarang sakit, cuma pagi hari kejadian itu dia cakap lenguh satu badan sahaja.

Dia mengadu pagi tu, selepas itu dia masuk pagi ke hospital dan pada sebelah malam dia sudah tiada,” katanya.

Menurutnya, ketika berita kematian disampaikan oleh petugas Tabung Haji (TH), dia tergamam dan tidak tahu bagaimana mahu menerima berita tersebut.

“Orang Tabung Haji beritahu dia tiada. Masa diberitahu, saya tak tahu macam mana nak gambarkan perasaan, nasib baik ada kawan-kawan sebilik yang bantu pegang saya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Saadiah berkata, Allahyarham merupakan seorang yang rajin pergi masjid setiap waktu selain kerap mengikuti ceramah agama.

“Arwah seorang yang rajin ke masjid. Boleh katakan setiap waktu dia akan ke masjid yang tak jauh dari rumah. Mak cik pun selalu ikut arwah pak cik ke masjid. Cuma kadang-kadang mak cik tak ikutlah,” katanya.

Pasangan yang berasal dari Kubang Pasu, Kedah itu telah berkahwin sejak mereka berumur 18 tahun dan mempunyai empat orang anak serta lapan orang cucu.

“Semasa nak datang di Tanah Suci arwah tunjuk perangai seperti biasa dan mak cik turut buat kenduri doa selamat.

'Ketika itu seronok sebab anak, cucu semua balik berkumpul dan kawan-kawan pun ramai hadir,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Maktab 79, Al'Amin Jaminon berkata, beliau menerima berita kematian itu menerusi pihak Masyariq dan kemudian mengarahkan petugas TH untuk memberitahu waris.

“Selepas dimaklumkan kepada waris, yang ada wakil Masyariq yang sedia di lobi hotel untuk bawa waris pergi ke pusat pengecaman di hospital selain keluarkan pasport di ibu pejabat.

“Selepas proses pengecaman, mandi, dikafankan dan jenazah kemudiannya dibawa ke Masjidil Haram.

"Semua proses ini berlaku cepat dan mudah,” katanya.

Menurutnya, Allahyarham Abnil Hajar nampak seperti seorang yang ceria dan tidak pernah sungul ketika sesi taklimat di surau hotel penginapan Land Premium.

Al'Amin turut berterima kasih kepada pihak yang dipertanggungjawabkan untuk mempermudahkan proses pengebumian.

“Untuk makluman juga Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman juga telah mengadakan lawatan kepada waris di bilik bersama panel syariah TH.

“Antara perkara dikongsi seperti fadilat kematian Jumaat di Makkah dan perkara tentang idah serta proses haji.

"Selain itu, kita juga adakan tahlil ringkas untuk arwah,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!