Anak-anak cadang tunai umrah, ziarah kubur ayah di Makkah

Norshakila menunjukkan gambar bapa mereka yang meninggal dunia di Makkah pada Jumaat.
Norshakila menunjukkan gambar bapa mereka yang meninggal dunia di Makkah pada Jumaat.
A
A
A

KUBANG PASU - Empat anak bakal jemaah haji Malaysia yang meninggal dunia di Makkah, Abnil Hajar Ismail, 72, merancang untuk menunaikan umrah di samping menziarahi pusara bapa mereka.

Anak keduanya, Norshakila Abnil Hajar, 49, berkata, mereka empat beradik yang kesemuanya perempuan merancang perkara berkenaan memandangkan ayah mereka dikebumikan di Makam Al-Sharaya pada Sabtu.

"Insya-ALLAH kami ada merancang untuk buat umrah sambil ziarah kubur ayah.

"Nak buat haji kena tunggu giliran, lambat pula, jadi kita rancang buat umrah," katanya ketika ditemui di rumah mereka di kampung Tanjung Mukim Jeram di sini pada Ahad.

Menurutnya, dia menerima berita pemergian bapanya itu melalui panggilan telefon oleh ibu mereka, Sa'diah Bakar, 72, yang turut berada di Tanah Suci, kira-kira jam 5 pagi pada Jumaat.

Gambar kenangan terakhir Abnil Hajar bersama keluarga ketika di Hotel Raia, Alor Setar sebelum berlepas ke tanah suci.
Gambar kenangan terakhir Abnil Hajar bersama keluarga ketika di Hotel Raia, Alor Setar sebelum berlepas ke tanah suci.

"Kami baru tahu yang ayah ada muntah dan dibawa ke klinik pada hari yang sama dia meninggal.

"Rupanya ayah memohon petugas Tabung Haji (TH) merahsiakan perkara itu kerana tidak mahu anak-anak risau," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, mereka sekeluarga reda dengan pemergian bapanya itu walaupun ia agak mengejut.

"Sepanjang buat panggilan video ayah nampak sihat saja di sana. Mak pun beritahu ayah kuat dan bersemangat, sebab itu kami terkejut apabila dimaklumkan ayah meninggal dunia.

"Apa pun kami reda apatah lagi ayah meninggal pada hari Jumaat di Makkah dan disolatkan di Masjidil Haram, tak ramai yang dapat peluang macam ini di Tanah Suci," katanya.

Norshakila yang juga seorang guru berkata, bapanya mendaftar haji sejak 2009 dan baru tahun ini mendapat panggilan haji.

"Sejak dapat berita nama terpilih untuk menunaikan haji, ayah gembira sangat.

"Kiranya dari mula dapat berita sehingga kami hantar dia di Hotel Raia pada 9 Mei lalu memang terserlah kegembiraan dia.

"Masa itu pun dia tak ada tunjuk apa-apa perubahan cuma ada pesan tolong tengok-tengokkan rumahnya ini sahaja," katanya.

Kematian Abnil Hajar disahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar ketika majlis mengucapkan selamat jalan kepada jemaah haji Malaysia pada Ahad.

Beliau berkata, Abnil Hajar disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital akibat pembuluh darahnya pecah pada Jumaat, jam 10.30 malam.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!