Unit pergigian TH sedia santuni jemaah haji

Dr Umairah (tengah) dibantu oleh Meor Al-Hafiz (kanan) dan Nur Syuhana.
Dr Umairah (tengah) dibantu oleh Meor Al-Hafiz (kanan) dan Nur Syuhana.
A
A
A

MAKKAH - Unit Pergigian di Pusat Rawatan Tabung Haji (TH) di Makkah bersedia santuni jemaah haji yang datang mendapatkan rawatan tidak kira siang ataupun malam.

Biarpun hanya mempunyai tiga petugas, namun ini tidak pernah mematahkan semangat untuk mereka yang telah menyantuni lebih 40 jemaah sejak klinik itu dibuka seminggu lepas.

Pegawai Pergigian, Dr Umairah Razali diberikan tanggungjawab mengetuai unit itu dibantu oleh Pembantu Pembedahan Pergigian, Meor Al-Hafiz Abd Halim dan Juruterapi Pergigian, Nur Syuhana Samsudin.

Dr Umairah ketika ditemui petugas media, di sini baru-baru ini.
Dr Umairah ketika ditemui petugas media, di sini baru-baru ini.

Dr Umairah berkata, walaupun mempunyai kekangan dari segi bilangan petugas dan peralatan, namun unit itu menawarkan hampir kesemua perkhidmatan rawatan pergigian yang ada di tanah air.

"Bagi saya perkhidmatan di sini lebih kurang sama dengan perkhidmatan di tanah air, yang mana di sini kita utamakan rawatan kecemasan dan berdasarkan janji temu.

"Ini kerana kita perlu menyediakan kenderaan untuk mengambil jemaah dari maktab penginapan sebelum mendapatkan rawatan di sini," katanya kepada petugas media ketika ditemui di sini.

Beliau memberitahu, unit ini akan bertugas setiap masa dengan waktu pejabat bermula jam 7 pagi hingga 12 tengah hari, kemudian sambung semula dari jam 4.30 petang sampai 6.30 petang dan 8 hingga 10 malam.

Artikel Berkaitan:

"Untuk waktu malam pula kami perlu bersedia dengan panggilan kalau ada kes kecemasan seperti trauma yang memerlukan perkhidmatan kami," katanya yang berkhidmat di Klinik Pergigian Sungai Besar, Selangor.

Beliau berkata, kebanyakan jemaah ke klinik itu disebabkan masalah tampalan gigi yang tercabut kerana makan makanan yang keras seperti kacang dan buah selain ulser disebabkan kurang minum air dan khidmat cucian gigi.

"Ada juga jemaah semasa datang ke Tanah Suci, gigi dah goyang dan disebabkan penat berjalan jauh, ia menambahkan lagi sakit pada gigi.

“Ada juga yang demam ketika datang membuat rawatan dan setelah pemeriksaan kesihatan mulut dilakukan kita dapati ada gigi rosak. Jadi kita akan bagi rawatan yang diperlukan," katanya.

Dr Umairah sedang membuat rawatan gigi kepada salah seorang jemaah haji di Pusat Rawatan Tabung Haji (TH) di Makkah.
Dr Umairah sedang membuat rawatan gigi kepada salah seorang jemaah haji di Pusat Rawatan Tabung Haji (TH) di Makkah.

Menurut Dr Umairah, beliau harus bijak menggunakan sumber dan ubatan dibawa dari tanah air untuk merawat jemaah kerana di Arab Saudi agak sukar untuk mendapatkan ubatan yang sesuai dengan jemaah haji Malaysia selain harganya agak mahal.

"Agak sukar nak bawa bahan pergigian dari tanah air dan ada terpaksa kita beli di Arab Saudi. Contohnya bahan tampalan... ubat bius untuk cabut gigi. Yang jadi masalah sebab kadang kala ia tidak sesuai dengan rakyat Malaysia walaupun jenama sama, malah kos juga tinggi," katanya.

Pada masa sama, beliau juga menasihati jemaah haji supaya sentiasa menjaga kesihatan serta kebersihan diri termasuk mulut sepanjang berada di Tanah Suci bagi membolehkan jemaah kekal fokus untuk beribadah terutama menjelang hari-hari kemuncak ibadah haji nanti.

"Saya nasihatkan jemaah supaya mengamalkan minum air yang banyak kerana ada kes dirujuk kepada kita jemaah mengalami ulser kerana kurang minum air. Apabila terjadi seperti itu, jemaah lagi susah untuk makan dan tidak dapat fokus untuk beribadah. Jadi minumlah air banyak-banyak," katanya.

Sementara itu, seorang daripada pesakit, Hamidah Ismail, 40-an dari Kedah berkata, dia datang mendapatkan rawatan di klinik kerana tampalan giginya tercabut disebabkan makan buah.

"Saya takut kalau dibiarkan ia akan bertambah sakit. Jadi saya datang ke sini untuk mendapatkan rawatan selepas doktor di maktab penginapan saya memaklumkan TH ada menyediakan perkhidmatan klinik gigi.

"Alhamdulillah, khidmat yang diberikan sama standard dengan klinik gigi di Malaysia dan saya syorkan kepada jemaah yang lain untuk datang ke sini jika ada sakit gigi," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!