'Áyah terpaksa berpura-pura mati elak diri diserang lagi'

Insiden di Balai Polis Batu Pahat - Foto Polis Johor
Insiden di Balai Polis Batu Pahat - Foto Polis Johor
A
A
A

JOHOR BAHRU – Insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Jumaat lalu ternyata mengejutkan waris mangsa insiden yang berlaku di Balai Polis Batu Pahat, 44 tahun lalu.

Insiden tersebut seakan mengimbas kembali sejarah hitam yang pernah berlaku di balai polis berkenaan pada jam 9.30 pagi, 16 Oktober 1980 apabila sekumpulan lelaki bersenjata melakukan serangan yang menyebabkan 23 anggota polis termasuk orang awam cedera.

Lebih mengerikan, ada mangsa putus jari dan pergelangan tangan dipercayai ditetak dengan pedang dalam serangan yang didakwa dilakukan pengikut ajaran sesat.

Anak kepada salah seorang mangsa serangan tersebut, Nurul Asia Masood, 37, berkata, bapanya, Allahyarham Masood Hamid yang berusia 47 tahun ketika kejadian bekerja sebagai kerani di balai berkenaan.

Menurut anak kelima daripada enam beradik itu, ketika bapanya bertugas secara tiba-tiba balai berkenaan diserang sekumpulan lelaki bersenjata termasuk menggunakan pedang.

“Ayah ceritakan insiden ini ketika saya masih kecil lagi jadi tak berapa ingat sangat, tapi bila baca apa yang terjadi (di Balai Polis Ulu Tiram), saya tiba-tiba teringat...macam yang pernah ayah cerita dulu.

“Arwah ibu pun tak banyak cerita pasal insiden tersebut.

Artikel Berkaitan:

Balai Polis Batu Pahat - Foto FB Polis Johor
Balai Polis Batu Pahat - Foto FB Polis Johor

“Masa itu kami sekeluarga tinggal di rumah sewa di luar, bukan tinggal di berek polis, tapi selepas kejadian tu kami berpindah ke Kluang dan ayah pun kemudiannya bersara di Balai Polis Kluang,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambah Nurul Asia, bapanya juga ada menceritakan serangan terbabit menyebabkan tangan rakan polis wanita putus ditetak oleh salah seorang lelaki yang menyerang balai berkenaan.

Ujarnya,tangan bapanya juga cedera ketika cuba menahan libasan pedang daripada seorang penyerang dalam insiden tersebut.

“Ayah kata dia terpaksa berpura-pura mati bagi mengelakkan dirinya diserang lagi dan boleh menyebabkannya terkorban.

“Tentang rakan polis wanita itu, ayah kata dia tak tahu, sama ada terkorban atau masih hidup akibat serangan berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Nurul Asia berkata, dirinya sekeluarga tidak sesekali menyimpan apa-apa perasaan marah atau dendam terhadap perkara yang berlaku.

Katanya, insiden sudah lama berlaku dan sepatutnya tidak diperkatakan lagi.

“Ayah dan ibu pun dah tak ada, meninggal sebab sakit tua. Dalam perkara seperti ini, kita hanya berserah kepada ALLAH SWT...rasanya itu lebih baik,” ujarnya.

Untuk rekod, seramai lapan individu yang menyerang balai polis tersebut telah ditembak mati manakala seramai 23 anggota polis, kakitangan awam polis dan orang awam cedera.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!