Jenazah suspek serang balai polis selamat dikebumikan

Kedudukan kubur terletak di hujung tanah perkuburan iaitu kira-kira 300 meter dari kubur lain.
Kedudukan kubur terletak di hujung tanah perkuburan iaitu kira-kira 300 meter dari kubur lain.
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Jenazah suspek lelaki yang mati ditembak dalam insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram selamat dikebumikan di Pusara Islam Sungai Tiram, Ulu Tiram di sini pada Isnin.

Jenazah suspek tiba jam 12.15 tengah hari sebelum kira-kira setengah jam kemudian dikebumikan di tanah perkuburan itu yang terletak berhampiran rumah keluarganya di Kampung Sungai Tiram.

Upacara pengebumian tersebut dikawal ketat anggota polis dan semua pihak termasuk media tidak dibenarkan masuk ke kawasan perkuburan dengan pintu utamanya ditutup dan dikawal lima anggota polis.

Proses pengebumian itu hanya dihadiri beberapa penduduk kampung selain pegawai dan anggota polis.

Difahamkan, proses pengebumian lewat dilakukan kerana tiada ahli keluarga yang menuntut jenazah selepas urusan bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini.

Waris lelaki tersebut hanya membuat tuntutan pada pagi Selasa sebelum urusan pengebumian dilakukan.

Upacara pengebumian jenazah suspek dikawal ketat anggota polis dan semua pihak termasuk media tidak dibenarkan masuk ke kawasan perkuburan.
Upacara pengebumian jenazah suspek dikawal ketat anggota polis dan semua pihak termasuk media tidak dibenarkan masuk ke kawasan perkuburan.

Bagaimanapun kedudukan kubur yang disediakan terletak di hujung tanah perkuburan tersebut iaitu kira-kira 300 meter dari kubur lain.

Artikel Berkaitan:

Ketua Kampung Sungai Tiram, Muhamad Mohamed Som, 66, berkata, pihaknya dimaklumkan Pejabat Kadi Daerah untuk menjarakkan lokasi kubur suspek berbanding kubur lain.

"Untuk itu kita telah menyediakan tapak kubur di hujung kawasan tanah perkuburan berkenaan," katanya ketika ditemui.

Pada Jumaat, media melaporkan kejadian serangan ke atas Balai Polis Ulu Tiram pada jam 2.30 pagi mengorbankan dua anggota polis, manakala seorang lagi mengalami kecederaan.

Dalam kejadian itu, seorang penyerang yang bertopeng dan berpakaian gelap serta bersenjatakan parang mati ditembak di lokasi kejadian.

Anggota polis yang maut adalah Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said.

Anggota cedera, Koperal Mohd Hasif Roslan bertugas di Unit Rondaan Cegah Jenayah.

Susulan insiden itu, tujuh individu termasuk lima ahli keluarga suspek serta dua penuntut institut pengajian tinggi (IPT) direman bagi membantu siasatan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!