'Cadangan bukan bumiputera masuk UiTM tidak berasas'

Saiful Azhar (enam dari kanan) bergambar bersama Hussamuddin selepas sesi perbincangan dan lawatan Persekutuan Alumni UiTM Malaysia ke Kumpulan Karangkraf di Shah Alam pada Khamis.
Saiful Azhar (enam dari kanan) bergambar bersama Hussamuddin selepas sesi perbincangan dan lawatan Persekutuan Alumni UiTM Malaysia ke Kumpulan Karangkraf di Shah Alam pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Persekutuan Alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM) Malaysia menolak keras cadangan membuka kemasukan UiTM kepada pelajar bukan bumiputera ke institusi pengajian tinggi itu.

Presidennya, Saiful Azhar Shaharun berkata, masyarakat perlu faham UiTM mempunyai akta tersendiri yang mana tertakluk kepada Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan iaitu berkait dengan keistimewaan Melayu, anak negeri Sabah dan Sarawak.

Katanya, berbeza dengan universiti lain yang hanya menggunakan Rang Undang-Undang (RUU) Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 2023 (AUKU).

"Bila timbul cerita kemasukan bukan bumiputera di UiTM, sebenarnya isu ini tidak berasas untuk dibincangkan kerana sememangnya tidak boleh dilaksanakan sebab bertentangan dengan akta.

"Mahu bagi pandangan atau berdebat mengenai isu keistimewaan anak Melayu, Sabah dan Sarawak ini boleh, namun apabila berbalik pada asas, ia akan jadi sekadar retorik," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian selepas sesi perbincangan dan lawatan Persekutuan Alumni UiTM Malaysia ke Kumpulan Karangkraf di Shah Alam pada Khamis.

Sesi perbincangan itu diadakan bersama Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub dan Penasihat Bersama Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah.

Pada 25 April lalu, portal berita kesihatan melaporkan Anggota Lembaga Program Parallel Pathway UiTM-IJN, Raja Amin Raja Mokhtar sebagai berkata, UiTM bersetuju membuka laluan kepada pelatih bukan bumiputera mendapatkan pendidikan lanjutan bidang kardiotoraks di universiti berkenaan.

Artikel Berkaitan:

UiTM merupakan satu-satunya universiti yang menawarkan program parallel pathway dengan kerjasama Institut Jantung Negara (IJN) dalam bidang kardiotoraks.

Tambah Saiful Azhar, keperluan profesion bukan terletak pada UiTM semata-mata memandangkan banyak lagi universiti lain yang menawarkan kursus perubatan.

Beliau memberi contoh, Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

"Universiti berkenaan tiada had untuk siapa yang mahu sambung belajar sama ada peringkat Ijazah, sarjana mahupun Ijazah Doktor Falsafah (PhD). Di UiTM lain, satu pun bukan bumiputera tidak boleh, peluang ini untuk anak bumiputera sahaja.

"Jadi saya mencadangkan agar pakar di UiTM dipinjamkan kepada universiti lain untuk membolehkan mereka menyumbang ilmu, tidak semestinya kena masuk UiTM," jelasnya.

Mengulas lanjut, Saiful Azhar berkata, UiTM sebenarnya mempunyai ramai pakar dalam pelbagai bidang sama ada yang jarang didengar mahupun sudah popular seperti kulinari, jurutera dan komunikasi.

"Kita dalam persekutuan ada pelbagai pakar dan sedang bangunkan direktori serta kumpul maklumat. Kepakaran, kemahiran, kehebatan serta kejayaan alumni UiTM di luar sebenarnya begitu banyak, itu yang mahu ditonjolkan.

"Kepakaran ini bukan sahaja boleh sumbang balik khidmat kepada masyarakat tetapi sebenarnya pengetahuan tentang apa yang mereka buat itu kita dapat sebarkan kepada orang ramai," katanya.

Beliau memberi contoh, isu pokok tumbang di ibu kota baru-baru ini memperkenalkan orang ramai kepada kerjaya pakar pokok.

"Kali pertama kita dengar pakar pokok, alumni UiTM ada pakar itu. Inilah yang saya katakan bidang orang yang jarang dengar, kita mahu tonjolkan profesion sebegitu.

"Oleh sebab itu, pentingnya kerjasama dengan organisasi media seperti Karangkraf. Saya percaya ia dapat membantu menyampaikan maklumat dan memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak," ujarnya.

Menurut Saiful Azhar, persekutuan ditubuhkan bagi menggabungkan 40 persatuan alumni UiTM dari pelbagai fakulti, kolej pengajian dan sebagainya.

"Jadi antara objektif lain persekutuan ialah menyatukan alumni yang jumlahnya 750,000 dari tahun 1958 hingga sekarang," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!