Pelajar UiTM berpakaian hitam sokong kempen #MahasiswaUiTMBantah

Pelajar berpakaian hitam sebagai tanda menyokong gesaan MPP UiTM.
Pelajar berpakaian hitam sebagai tanda menyokong gesaan MPP UiTM.
A
A
A

SHAH ALAM - Rata-rata pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini menyokong bantahan sebarang cadangan membuka kemasukan kepada pelajar bukan bumiputera ke institut pengajian tinggi itu.

Pelajar terbabit juga lengkap berpakaian hitam sebagai tanda menyokong gesaan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM dalam kempen #MahasiswaUiTMBantah pada Khamis.

Seorang pelajar yang ditemui Sinar Harian, Afiqah Amirudin, 22, berkata, dia turut membantah kerana perkara itu sudah termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dan wajar dikekalkan.


Afiqah
Afiqah

"Langkah itu juga bagi memastikan pelajar bumiputera berpendapatan rendah terus mendapat akses kepada pendidikan tinggi," katanya.

Sementara itu, seorang pelajar dari Sabah, Jannah Poilin, 23, berharap UiTM dapat mengekalkan objektif asal penubuhannya iaitu melindungi dan membangunkan pelajar bumiputera.

Jannah
Jannah

"Sebab itu saya bersetuju dengan bantahan MPP yang menolak sebarang cadangan membuka kemasukan kepada pelajar bukan bumiputera walaupun cadangan itu hanya untuk program tertentu," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, bagi seorang pelajar jurusan undang-undang, Aleeya Atiqah Najwa Abdullah, 20, pula menyifatkan bantahan itu sebagai terlalu awal dan mengambil sikap tunggu dan lihat.

Aleeya Atiqah Najwa
Aleeya Atiqah Najwa

Ujarnya, buat masa sekarang dia mengambil keputusan untuk mengikut saranan MPP agar berpakaian hitam sebagai tanda menyokong kempen #MahasiswaUiTMBantah pada Khamis.

"Sebagai pelajar saya sokong kempen itu, namun dalam masa sama saya menyerahkan kepada pihak pengurusan universiti dalam membuat sebarang keputusan terbaik untuk pelajar UiTM," ujarnya.

Menurut mahasiswa, Musalaiman Abd Hishamuddin, 22, dia berpegang teguh dengan inisiatif Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dalam isu tersebut dan akan sentiasa menyokong setiap usaha yang dibuat bagi memastikan UiTM untuk bumiputera sahaja.

"Saya sebagai bumiputera Sabah, jadi saya berpegang teguh dengan pendirian MPP dan berada di belakang mereka supaya hak UiTM kepada bumiputera sahaja.

Pelajar berpakaian hitam sebagai menyokong kempen #MahasiswaUiTMBantah pada Khamis.
Pelajar berpakaian hitam sebagai menyokong kempen #MahasiswaUiTMBantah pada Khamis.

"Cawangan baharu sepatutnya tidak dibuka walaupun sekelumit atau sedikit ruang kepada bukan bumiputera untuk masuk ke universiti ini. Ada banyak lagi institusi lain tapi kenapa mesti UiTM?," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Dalam pada itu seorang pelajar, Wan Alia Nasuha Faharal Azmi, 23, berkata, masalah berkenaan perlu dihentikan segera dan pihak terlibat perlu membatalkan penubuhan cawangan baharu tersebut.

Ujarnya, sebagai pelajar UiTM dia membantah situasi ini daripada berterusan kerana ia melibatkan hak anak Melayu serta bumiputera.

Tambah Wan Alia Nasuha, selain menggenakan pakaian berwarna hitam, dia juga menggunakan sosial media untuk menyebar maklumat mengenai kempen yang berlangsung sejak dua hari lalu

"Saya siarkan semula hantaran di aplikasi TikTok dan Instagram untuk sebarkan mesej kepada pelajar untuk pakai (baju) hitam untuk bantah tindakan tersebut.

"Kepada pelajar UiTM yang hari ini menyertai kempen berkenaan, diseru untuk memuat naik gambar anda dengan menggunakan #MahasiswaUiTMBantah supaya hak kita terjaga," katanya.

Turut berkongsi pandangan, Aida Uzma Umaiyrah Mat Nazir, 20, pihak atasan perlu mencari solusi terbaik untuk menyelesaikan masalah tersebut secepat mungkin.

Rata-rata pelajar UiTM yang ditemui memakai pakaian hitam pada Khamis, sebagai tanda protes rancangan kemasukan pelajar bukan bumiputera ke universiti itu.
Rata-rata pelajar UiTM yang ditemui memakai pakaian hitam pada Khamis, sebagai tanda protes rancangan kemasukan pelajar bukan bumiputera ke universiti itu.

Tambahnya, umum mengetahui bahawa UiTM merupakan hak bumiputera jadi apabila perkara tersebut berlaku ia sedikit sebanyak telah menggugat kedudukan istimewa Bumiputera.

Pada Rabu, Persatuan Pelajar UiTM membantah keras sebarang cadangan membuka kemasukan kepada pelajar bukan bumiputera walaupun cadangan itu hanya untuk program pascasiswazah pembedahan kardiotoraks.

Sehubungan itu, MPP UiTM menggesa pelajar memakai pakaian hitam pada Khamis dan menggunakan tanda pagar #MahasiswaUiTMBantah di platform media sosial sebagai tanda sokongan kepada kempen tersebut.

MPP dalam kenyataan pada Rabu dilaporkan berkata, objektif penubuhan UiTM adalah melindungi kedudukan istimewa orang Melayu, Orang Asli, dan anak negeri Sabah dan Sarawak.

Ini kata mereka, bagi memastikan pelajar bumiputera berpendapatan rendah mendapat akses kepada pendidikan tinggi, memetik Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Pada Rabu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menegaskan tidak ada perbincangan mengenai kemasukan pelajar bukan bumiputera ke UiTM di mana-mana peringkat kementerian mahupun Kabinet.

Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dilaporkan berkata, isu kemasukan pelajar bukan bumiputera ke UiTM sengaja dijadikan polemik oleh pihak tertentu yang cuba mengganggu-gugat polisi serta objektif asal penubuhan UiTM.

Ujarnya, KPT berpegang teguh kepada Fasal 1A Akta 173, UiTM ditubuhkan menurut dan mengikut peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!