Kemasukan pelajar bukan bumiputera ke UiTM tidak pernah dibincang - Zambry

Zambry Abd Kadir - Foto Bernama
Zambry Abd Kadir - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menegaskan tidak ada perbincangan mengenai kemasukan pelajar bukan bumiputera ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) di mana-mana peringkat kementerian mahupun Kabinet.

Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, isu kemasukan pelajar bukan bumiputera ke UiTM sengaja dijadikan polemik oleh pihak tertentu yang cuba mengganggu-gugat polisi serta objektif asal penubuhan UiTM.

Katanya, ia sekali gus menimbulkan kecelaruan dan perbalahan pelbagai pihak.

"Seperti kenyataan saya pada 2 Mei lalu, KPT sememangnya tidak pernah membincang atau membenarkan UiTM dibuka kepada pelajar bukan bumiputera sepertimana yang telah dimainkan pada hari ini," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Ujar Zambry, KPT berpegang teguh kepada Fasal 1A Akta 173, UiTM ditubuhkan menurut dan mengikut peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Pada 25 April lalu, portal berita kesihatan melaporkan Anggota Lembaga Program Parallel Pathway UiTM-IJN, Raja Amin Raja Mokhtar sebagai berkata, UiTM bersetuju membuka laluan kepada pelatih bukan bumiputera mendapatkan pendidikan lanjutan bidang kardiotoraks di universiti berkenaan.

UiTM merupakan satu-satunya universiti yang menawarkan program parallel pathway dengan kerjasama Institut Jantung Negara (IJN) dalam bidang kardiotoraks.

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) sebelum ini turut meminta UiTM membenarkan kemasukan pegawai perubatan bukan bumiputera yang ingin mendapatkan latihan khusus bidang kardiotoraks, sama seperti mereka menerima pelajar antarabangsa sekarang.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pada 8 Mei, Naib Canselor UiTM Datuk Dr Shahrin Sahib berkata universiti itu tetap komited mempertahankan Akta UiTM 1976 (Akta 173) dan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang hanya membenarkan kemasukan pelajar bumiputera ke institusi berkenaan.

Susulan itu, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) mengadakan kempen mahasiswa universiti itu memakai pakaian hitam pada Khamis sebagai membantah rancangan membuka UiTM kepada pelajar bukan bumiputera.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!