Aktiviti sukan di sekolah perlu di kawasan berbumbung - JKNT

JPNT menyarankan supaya aktiviti riadah dan sukan murid sekolah diadakan di kawasan berbumbung ekoran cuaca panas yang berlaku ketika ini. Gambar hiasan
JPNT menyarankan supaya aktiviti riadah dan sukan murid sekolah diadakan di kawasan berbumbung ekoran cuaca panas yang berlaku ketika ini. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) menyarankan supaya aktiviti riadah dan sukan murid sekolah diadakan di kawasan berbumbung ekoran cuaca panas yang berlaku ketika ini.

Pengarahnya, Jelani Sulong berkata, langkah itu bagi mengelak golongan tersebut berdepan sebarang risiko masalah kesihatan.

Menurutnya, aktiviti Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK) serta riadah yang lain masih diteruskan di semua sekolah namun lokasinya perlu ditukar ke kawasan berbumbung atau dewan.

"Kebanyakan sekolah juga mempunyai ruang yang cukup (berbumbung dan dewan tertutup) untuk memastikan semua aktiviti fizikal berjalan tanpa sebarang masalah.

"Buat masa ini, aktiviti-aktiviti melibatkan kecerdasan fizikal murid dan pelajar disarankan untuk diadakan antara jam 8 hingga 10 pagi dan ia masih berjalan lancar," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Sementara itu, Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Pusat Chabang Tiga, Azman Sulong berkata, aktiviti PJK serta riadah lain diadakan di dua dewan tertutup sekolah berkenaan.

Katanya, pihak sekolah sentiasa mematuhi semua arahan yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan JPNT serta mengikut semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Ibu bapa tidak perlu bimbang dengan tahap kesihatan serta keselamatan anak mereka sepanjang berada di sekolah kerana semua guru sentiasa memantau mereka," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini media melaporkan enam negeri dijangka terus mengalami cuaca panas antara 37 hingga 40 darjah Celsius secara berterusan bagi tempoh kira-kira tiga bulan lagi.

Antara negeri terlibat ialah Terengganu, Kelantan, Pahang, Perak, Perlis dan Kedah.

Situasi itu berlaku susulan fenomena El Nino yang sedang melanda dunia ketika ini.

Selain itu, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu turut melaporkan terdapat lima kes strok haba dan kelesuan haba yang telah dimasukkan ke hospital itu.

Mangsa terlibat terdiri daripada dua orang anggota keselamatan, seorang pelajar sekolah, seorang pekerja Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan seorang warga emas.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!