Cuaca panas boleh cetus masalah tekanan

Cuaca panas di Madinah boleh mencecah hingga 42 darjah Celsius. Gambar kecil: Dr Mahyin dan Syazrina Maria
Cuaca panas di Madinah boleh mencecah hingga 42 darjah Celsius. Gambar kecil: Dr Mahyin dan Syazrina Maria
A
A
A

MADINAH - Cuaca panas di Madinah dengan suhu yang boleh mencecah hingga 42 darjah Celsius boleh menyebabkan tekanan dalam kalangan jemaah haji.

Pengarah Operasi Madinah (Kesihatan), Dr Mahyin Kudong berkata, perubahan secara mendadak suhu itu boleh mencetuskan konflik berpunca daripada haba sehingga menyebabkan emosi tidak stabil.

Menurutnya, bagi menangani isu itu, pasukan perubatan Tabung Haji (TH) yang terdiri daripada 279 petugas haji (perubatan) turut membawa pakar psikiatri bagi membantu jemaah haji yang mengalami tekanan.

“Tidak dinafikan cuaca panas boleh menyebabkan emosi tidak stabil. Selain pakar psikiatri, TH juga mempunyai kaunselor daripada pasukan kebajikan serta Pembimbing Ibadah Haji Tanah Suci.

“Jadi kalau ada sebarang isu yang timbul berkaitan dengan masalah mental atau stres, kita akan tangani secara bersama," katanya pada sidang media di sini.

Selain itu, Dr Mahyin turut menggalakkan jemaah haji membawa botol air penyembur yang dibekalkan dan membasahkan muka jika keadaan cuaca terlalu panas untuk mengelakkan masalah hidrasi.

Jemaah haji perlu bersedia untuk membolehkan diri sentiasa mampu ke Masjid Nabawi untuk menunaikan solat lima waktu.
Jemaah haji perlu bersedia untuk membolehkan diri sentiasa mampu ke Masjid Nabawi untuk menunaikan solat lima waktu.

"Kita juga amat galakkan jemaah haji dengan botol air penyembur. Sekiranya ada panas yang mendadak, kita boleh sembur," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Unit Kaunseling Sektor Madinah Syazrina Maria Talib berkata, beliau yang dibantu dua kaunselor bertauliah sentiasa bersedia membantu sekiranya timbul masalah berkaitan tekanan dalam kalangan jemaah haji.

"Apabila cuaca panas bukan sahaja jemaah, malah petugas juga boleh mengalami tekanan lebih-lebih lagi apabila bukan semua tempat penginapan jemaah haji berada berhampiran dengan pintu masjid," katanya.

Menurutnya, perjalanan ke masjid yang jauh terutama ketika berada di Makkah adalah cabaran kepada jemaah haji terutama bagi golongan berusia.

Jemaah haji akan menjalankan aktiviti ziarah luar yang memerlukan persediaan kerana cuaca yang panas.
Jemaah haji akan menjalankan aktiviti ziarah luar yang memerlukan persediaan kerana cuaca yang panas.

"Jemaah kita ramai juga yang berusia, jadi dengan keadaan usia tersebut dan perlu berjalan jauh serta berebut (untuk masuk ke masjid), ia merupakan cabaran kepada mereka," katanya.

Selain keadaan cuaca panas, pelbagai isu lain turut dikenal pasti menjadi penyumbang kepada masalah tekanan dalam kalangan jemaah termasuk soal hubungan antara suami isteri, keadaan kesihatan, masalah haid dan masalah berjauhan dengan keluarga.

Syazrina berkata, pihaknya sentiasa bersedia 24 jam termasuk melakukan ziarah ke bilik jemaah bagi memastikan keadaan kesihatan mental jemaah haji sentiasa dalam keadaan terbaik.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!