Projek PPR selesai isu pemilikan rumah pekerja ladang di Bestari Jaya

Kor Ming (tiga dari kiri) bergambar bersama-sama pemimpin setempat dan pekerja ladang selepas sidang akhbar Menteri KPKT berhubung penyelesaian isu perumahan estet di Selangor di tapak cadangan pelaksanaan PPR Ladang Sungai Tinggi, di sini pada Isnin.
Kor Ming (tiga dari kiri) bergambar bersama-sama pemimpin setempat dan pekerja ladang selepas sidang akhbar Menteri KPKT berhubung penyelesaian isu perumahan estet di Selangor di tapak cadangan pelaksanaan PPR Ladang Sungai Tinggi, di sini pada Isnin.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Isu pemilikan rumah pekerja di lima ladang di Bestari Jaya, di sini sejak 26 tahun lalu bakal berakhir apabila Kerajaan Persekutuan mengumumkan pembinaan sebanyak 245 unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) di kawasan itu.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata, isu pemilikan rumah antara yang sering dibangkitkan pekerja ladang sejak sekian lama meskipun kerajaan silih berganti.

Bagaimanapun, katanya, atas keprihatinan Kerajaan Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu masalah berlarutan itu ditangani segera.

"Hasil perbincangan antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, kami telah mencapai kata sepakat untuk menjayakan pembangunan PPR bagi pekerja-pekerja ladang yang terlibat," katanya semasa sidang akhbar Menteri KPKT berhubung penyelesaian isu perumahan estet di Selangor di tapak cadangan pelaksanaan PPR Ladang Sungai Tinggi, di sini pada Isnin.

Kor Ming memberitahu, lima ladang itu membabitkan Ladang Mary, Ladang Niger Garner, Ladang Bukit Tagar, Ladang Sungai Tinggi dan Ladang Minyak.

Ujar beliau, pembangunan projek PPR itu dibangunkan di kawasan seluas lapan hektar di Lot 25, Ladang Sungai Tinggi, Mukim Bestari Jaya, Kuala Selangor.

Tambah beliau, projek itu mendapat kerjasama daripada Berjaya Corporation Berhad yang telah menyatakan komitmen menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi menyalurkan sumbangan tanah di kawasan tersebut.

Sehubungan itu, katanya, bagi membangunkan projek PPR teres setingkat itu, sebanyak RM75 juta peruntukan bagi tujuan pembinaan yang disumbangkan kerajaan Persekutuan sebanyak RM40 juta dan kerajaan negeri pula RM35 juta.

Artikel Berkaitan:

Ujar Kor Ming, projek berkeluasan 20X60 kaki persegi itu dilengkapi tiga bilik tidur dan bilik air itu dijangka siap sepenuhnya pada 2026.

"Antara fasiliti lain yang turut dibina ialah dewan serbaguna dan Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika).

"Projek ini membawa harapan kepada semua 245 keluarga dan kita jangka selepas rumah ini siap ia membawa manfaat kepada RM1,250 penduduk yang dijangka menetap di PPR ini," jelas beliau.

Katanya, Prima Corporation akan dilantik sebagai agensi pelaksanaan supaya projek perumahan ini siap sepenuhnya dalam tempoh 24 bulan dari tarikh kelulusan.

Beliau memberitahu, kerajaan juga bersetuju untuk mencadangkan PPR Bestari Jaya dinamakan sebagai PPR Harmoni Madani.

"Nama PPR Harmoni Madani ini dipilih kerana ia dapat mencerminkan semangat perpaduan dan keharmonian antara kaum yang menjadi kunci utama kejayaan negara," jelas beliau.

"Kita yakin projek ini dapat disiapkan dalam tempoh dua tahun dan kita akan menjemput Perdana Menteri dan Menteri Besar Selangor, untuk datang ke sini bukan untuk mengumumkan projek, tetapi untuk majlis serah kunci kepada pemilik-pemilik rumah," kata beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!