Nasib pekerja ladang di Hulu Selangor akhirnya terbela

Dr Gunaraj George
Dr Gunaraj George
A
A
A

SHAH ALAM - Setelah lebih 25 tahun berjuang, nasib 1,250 ahli keluarga bekas pekerja daripada lima buah ladang iaitu Ladang Mary, Ladang Sungai Tinggi, Ladang Bukit Tagar, Ladang Nigel Gardner dan Ladang Minyak di Hulu Selangor akhirnya terbela dan menerima berita gembira.

Pengerusi Biro Pekerja Ladang Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Gunaraj George berkata, ini selepas kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju menyelesaikan isu perumahan pekerja ladang terbabit dengan memperuntukkan sebanyak RM40 juta.

Malah ujarnya, kerajaan Selangor pimpinan Datuk Seri Amirudin Shari turut memperuntukkan sebanyak RM35 juta bagi menyediakan perumahan bekas pekerja-pekerja ladang berkenaan.

"Projek ini dijangka akan siap sepenuhnya dalam tempoh 24 bulan yang akan diselaraskan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dengan jumlah keseluruhan projek sebanyak RM70 juta.

"Setelah 25 tahun, keadilan akhirnya dapat ditegakkan dan memberi satu nafas baharu kepada 1,250 orang ahli keluarga bekas pekerja-pekerja ladang di Hulu Selangor.

"Kerajaan Madani terus komited membantu setiap masyarakat di negara ini tanpa mengira latar belakang," katanya dalam satu kenyataan

Beliau yang juga Naib Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Selangor berkata, parti tersebut juga sentiasa konsisten dalam memperjuangkan setiap hak rakyat Malaysia termasuk pekerja-pekerja ladang.

Ujarnya, walaupun terdapat beberapa perkara berbangkit masih belum diselesaikan sepenuhnya, tekad dan iltizam setiap pimpinan PKR akan memastikan setiap masalah berbangkit akan dapat diselesaikan dengan harmoni dan tuntas.

Artikel Berkaitan:

"Terima kasih kepada Perdana Menteri dan Menteri Besar Selangor atas penyelesaian secara tuntas terhadap perkara yang menjadi igauan 1,250 ahli keluarga daripada lima buah ladang selama lebih 25 tahun.

"Ucapan terima kasih juga kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang membantu menyelaras dalam menyelesaikan hal ini," ujarnya lagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!