Kadar tarif air Terengganu tidak berubah sejak 26 tahun lalu

Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Hanafiah
Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Hanafiah
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pelarasan semula tarif air perlu bagi mengelak operator air berdepan kedudukan kewangan yang lemah dengan peningkatan kos operasi, pemprosesan dan perbekalan air terawat saban tahun.

Exco Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar, Hanafiah Mat berkata, Terengganu merekodkan tarif air antara terendah berbanding negeri lain dengan kadar 42 sen bagi setiap 0 sehingga 20 meter padu (m³) bagi penggunaan domestik.

Menurutnya, kadar sedia ada bagi pengunaan lebih 20 hingga 40 m³ (65 sen), lebih 40 hingga 60 m³ (90 sen) dan lebih 60 m³ (RM1).

Jelas beliau, kadar itu masih kekal dan tidak disemak oleh SATU (Syarikat Air Terengganu) sejak 26 tahun lalu.

"Selepas SATU ditubuhkan, syarikat berkenaan tidak pernah membuat semakan atau menaikkan kadar tarif air bagi pengguna domestik. Ia bererti kadar tarif domestik tidak berubah sejak 1997 hingga 2023.

"Bagaimanapun, SATU berhasrat untuk mengemukakan permohonan pelarasan kadar tarif yang holistik untuk menampung peningkatan kos operasi dan kos pembangunan modal yang tinggi bagi memastikan keselesaan pengguna dapat ditambahbaik," katanya dalam kenyataan di sini, pada Rabu.

Ujar beliau, pelarasan kadar tarif domestik itu dilihat belum mampu untuk menampung kos operasi yang ditanggung oleh SATU.

"SATU membelanjakan sejumlah RM180 juta setahun bagi kos operasi untuk mengabstrak, memproses serta membekalkan air terawat kepada pengguna di Terengganu.

Artikel Berkaitan:

"Dalam masa yang sama, kerja-kerja penyelenggaran yang membabitkan pembaikian paip pecah dan bocor serta kerja-kerja menaiktaraf sistem bekalan air juga perlu ditampung, "katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, SATU telah diberi taklimat berhubung kewajaran bagi pelarasan kadar tarif daripada pihak SPAN ketika pelaksanaan Mekanisme Penetapan Tarif (TSM) pada 2018.

Katanya, taklimat itu bertujuan menyeragamkan semula kategori kadar tarif termasuk jalur penggunaan air yang melibatkan semua negeri di Semenanjung Malaysia dan Labuan.

"Setakat kini bilangan akaun pengguna air yang aktif di Negeri Terengganu sehingga November 2023 berjumlah sebanyak 341,546 akaun dimana 83 peratus adalah pengguna kategori domestik, selebihnya bukan domestik," katanya.