Sindiket guna nama Goldman Sachs, tawar khidmat 'Cikgu Trader'

Ramli menunjukkan antara individu yang ditahan pada Op Nuri di seluruh negara 29 April lalu
Ramli menunjukkan antara individu yang ditahan pada Op Nuri di seluruh negara 29 April lalu
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis membongkar satu sindiket tipu pelaburan guna nama syarikat terkenal, Goldman Sachs selain tawaran pakar analisis dikenali sebagai 'Cikgu Trader' dengan janji keuntungan hingga 200 peratus sebulan.

Kegiatan sindiket itu ditumpaskan menerusi serbuan Op Nuri di tujuh negeri iaitu Selangor, Johor, Negeri Sembilan, Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Sarawak pada 29 April lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, operasi ini berjaya memberkas 12 warga tempatan termasuk dua wanita berusia lingkungan 21 hingga 45 tahun.

"Siasatan mendapati suspek berperanan sebagai pengarah syarikat dan pemilik perniagaan yang digunakan sebagai akaun keldai dalam aktiviti penipuan pelaburan yang dijalankan.

"Polis percaya kegiatan penipuan ini beroperasi secara dalam talian sejak Februari lalu dengan menggunakan nama syarikat pelaburan terkemuka di dunia iaitu Goldman Sachs bagi memperdayakan mangsa," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Jumaat.

Ramli berkata, media sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp digunakan sebagai medium pemasaran dan komunikasi dengan mangsa.

Dalam pada itu, belum mendedahkan, skim pelaburan ini dikesan menawarkan pulangan yang tinggi iaitu 15 hingga 200 peratus sebulan.

"Keuntungan pelaburan dijamin melalui bimbingan dan bantuan daripada pakar analisis pasaran modal atau 'Cikgu Trader', malah mangsa juga diminta memuat turun aplikasi Bam Pro dan Baly Pro Apps di 'App Store' dan 'Google Store'," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, mangsa seterusnya diarahkan membuat pindahan wang pelaburan ke akaun syarikat keldai yang ditetapkan oleh sindiket sebelum menyedari gagal mengeluarkan wang keuntungan yang diperolehi.

"JSJK telah membuka 29 kertas siasatan babit 41 mangsa yang melibatkan nilai kerugian RM11.3 juta.

"Siasatan telah mengenal pasti terdapat 19 akaun bank melibatkan tiga syarikat dan 16 perniagaan yang disalahgunakan sebagai keldai akaun untuk menerima wang daripada mangsa," katanya.

Justeru, beliau berkata, JSJK turut mengesan terdapat syarikat-syarikat pelaburan dilihat mula menawarkan pelaburan berasaskan emas.

"Jika melihat kepada rekod siasatan yang dijalankan oleh pihak polis, kebanyakan skim pelaburan ini akan berakhir dengan penipuan dan kerugian kepada mangsa," katanya.

Tegasnya, JSJK mencadangkan agar Bank Negara Malaysia menetapkan peraturan yang lebih sesuai dan memastikan semua syarikat pelaburan yang berasaskan logam berharga sebegini agar berdaftar dengan pihak mereka.

"Ini penting bagi menentukan wang yang dilaburkan adalah terjamin dan sekali gus mengelakkan kewujudan lebih banyak skim penipuan pelaburan," katanya

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!