Lima kes strok haba, kelesuan haba berlaku di Terengganu

Sebanyak tiga kes strok haba dan dua kes kelesuan haba dilaporkan berlaku di Terengganu.
Sebanyak tiga kes strok haba dan dua kes kelesuan haba dilaporkan berlaku di Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Sebanyak tiga kes strok haba dan dua kes kelesuan haba dilaporkan berlaku di Terengganu sehingga Isnin lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, kes tersebut melibatkan dua anggota keselamatan, seorang pekerja Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), kanak-kanak sekolah dan warga emas.

Menurutnya, daripada jumlah itu empat kes telah sembuh manakala satu kes lagi masih dirawat di hospital dengan tiada kes kematian direkodkan setakat ini.

"Empat kes melibatkan gelombang haba ini telah pulih dan dibenarkan pulang dan setakat ini hanya satu kes sahaja yang masih dirawat di hospital melibatkan anggota keselamatan.

"Terdapat kriteria menentukan sama ada individu itu mengalami strok haba, biasanya kita lihat pada suhu badan yang melebihi 40 darjah celsius," katanya dalam sidang akhbar di sini, pada Khamis.

Menurutnya, pendedahan kepada cuaca panas dan gelombang haba boleh menyebabkan kesan kesihatan yang ringan seperti selaran matahari dan ruam pada kulit.

Jelas beliau, jika tidak dikawal keadaan akan bertambah buruk sehingga mengakibatkan kehilangan air badan yang banyak dan menyebabkan kekejangan otot, kelesuan haba, dan strok haba apabila suhu badan meningkat melebihi 40 darjah celsius.

"Strok haba adalah satu keadaan kecemasan perubatan yang perlu dirawat dengan segera bagi mengelakkan komplikasi dan kematian.

Artikel Berkaitan:

"Bagi mengurangkan kesan akibat cuaca panas orang ramai terutama golongan berisiko seperti warga emas, kanak-kanak sekolah, pekerja yang terdedah kepada suhu panas, individu yang aktif, ibu hamil, bayi, pesakit kronik dan lain-lain perlu mengambil tindakan sewajarnya.

"Minum air secukupnya dan minum air yang telah dimasak bagi memastikan cecair dalam tubuh adalah mencukupi. Elakkan minuman berkafein, air panas, dan juga minuman beralkohol.

"Hadkan aktiviti di luar dan jika tidak dapat dielakkan, pakai topi atau payung yang boleh melindungi diri daripada terlalu terdedah dengan cuaca panas.

"Mandi dengan kerap atau basahkan badan atau pakaian serta pakai pakaian yang ringan, elakkan pakaian tebal dan ketat," jelas beliau.

Dalam pada itu beliau turut menasihati orang ramai supaya menangguhkan atau mengehadkan aktiviti lasak seperti berkayak, berbasikal, marathon, memanjat gunung, dan lain-lain aktiviti ketika gelombang haba sehinggalah keadaan kembali reda.

"Ibu-bapa, penjaga, atau pihak sekolah perlu sentiasa mengawasi aktiviti dan pergerakan kanak-kanak dan remaja serta memberi nasihat yang sewajarnya.

"Mereka juga perlu mengetahui tanda-tanda awal kelesuan haba, strok haba, dan segera berjumpa doktor bagi mendapatkan rawatan," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!