Kuala Terengganu, Kuala Nerus dilanda banjir

Antara kediaman yang dinaiki air di kawasan perumahan Taman Alamanda 3, Kuala Terengganu pada pagi Selasa.
Antara kediaman yang dinaiki air di kawasan perumahan Taman Alamanda 3, Kuala Terengganu pada pagi Selasa.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Hujan lebat berterusan sejak petang Isnin menyebabkan beberapa laluan, kawasan perumahan dan sekolah di sekitar daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus dilanda banjir pada pagi Selasa.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Jelani Sulong berkata, setakat jam 9 pagi ini sebanyak tujuh buah sekolah ditutup kerana dinaiki air.

"Setakat ini dimaklumkan enam sekolah di daerah Kuala Terengganu dan sebuah sekolah di Hulu Terengganu tidak boleh beroperasi dan diberikan cuti bencana.

"Antara sekolah terlibat ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Abdul Malek, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Budiman, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Besar, SK Gelugor, SK Kedai Buloh, SK Chung Hwa Wei Sin dan SK Lubuk Periuk (Hulu Terengganu)," katanya.

Sementara itu, menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Tok Jembal di daerah Kuala Nerus dijangka akan dibuka pagi ini.

Katanya, PPS itu akan diaktifkan bagi menempatkan lebih 40 keluarga terjejas banjir di sekitar Kampung Tok Jembal dan Kampung Jati.

Difahamkan, setakat pagi Selasa terdapat tiga laluan di daerah Kuala Terengganu yang ditutup kepada kenderaan antaranya Jalan Kamarudin, Jalan Sultan Omar dan Jalan Gong Kapas.

Berdasarkan situasi semasa, keadaan hujan masih lebat dan dijangka berlaku penutupan jalan-jalan lain sekiranya cuaca berkenaan masih berlarutan.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!