Dua premis makanan kotor diarah tutup dua minggu

Anggota penguat kuasa Jabatan Kesihatan Negeri menampal notis penutupan terhadap salah sebuah premis yang dikesan beroperasi dalam keadaan tidak bersih.
Anggota penguat kuasa Jabatan Kesihatan Negeri menampal notis penutupan terhadap salah sebuah premis yang dikesan beroperasi dalam keadaan tidak bersih.
A
A
A

KUALA NERUS - Dua premis jualan makanan di daerah ini diarah tutup selama dua minggu kerana beroperasi dalam keadaan tidak bersih.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, premis berkenaan diperintahkan tutup di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983.

Menurutnya, kesalahan tersebut dikesan menerusi Operasi Cakna Undang-Undang Kesihatan Awam Siri 2/2024 yang dijalankan pada Selasa.

"Dalam operasi ini kita telah memeriksa sebanyak 32 premis melibatkan premis kedai makan bagi menentukan tahap kebersihan dan keselamatan makanan mengikut peruntukan Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya.

"Sebanyak dua premis dikesan beroperasi dalam keadaan tidak bersih dan telah diarah tutup selama 14 hari. Premis ini dibenarkan beroperasi semula selepas tindakan pembetulan diambil," katanya.

Pasukan kesihatan memeriksa bahagian dapur yang digunakan oleh pemilik premis kedai makan dalam Operasi Cakna Undang-Undang Kesihatan Awam Siri 2/2024.
Pasukan kesihatan memeriksa bahagian dapur yang digunakan oleh pemilik premis kedai makan dalam Operasi Cakna Undang-Undang Kesihatan Awam Siri 2/2024.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas operasi cakna penguatkuasaan undang-undang kesihatan awam peringkat negeri Terengganu di Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Nerus di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, Dr Kasemani berkata, sebanyak 49 notis telah dikeluarkan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 membabitkan jumlah kompaun sebanyak RM9,550.

Artikel Berkaitan:

"Antara kesalahan di bawah peraturan ini melibatkan kesalahan pemakaian pengendali makanan iaitu sebanyak 38 notis (77.5 peratus), kesalahan berkaitan pemakaian perhiasan diri semasa pengendalian makanan iaitu sebanyak lima Notis (10.2 peratus).

"Kita turut merekodkan masing-masing satu kesalahan bagi menggaji pekerja tiada suntikan tifoid serta gagal memastikan premis dalam keadaan bersih," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!