Miliki 580.98g kanabis, pasangan Nigeria terlepas tali gantung

Kebechi Thomas (tengah) bertindak agresif dan menjerit ketika dibawa keluar oleh anggota polis dari Mahkamah Tinggi Melaka pada Isnin.
Kebechi Thomas (tengah) bertindak agresif dan menjerit ketika dibawa keluar oleh anggota polis dari Mahkamah Tinggi Melaka pada Isnin.
A
A
A

MELAKA - Suasana di Kompleks Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin bertukar kecoh apabila seorang lelaki warga Nigeria yang terlepas hukuman gantung bertindak agresif ketika dibawa keluar dari mahkamah.

Sebelum itu, tertuduh, Kebechi Thomas Nwankwu, 38, dan teman wanitanya, Happy Akhidenor Aituaje, 33, masing-masing dijatuhi hukuman penjara enam tahun enam bulan selepas mengaku bersalah atas tuduhan pilihan memiliki dadah berbahaya jenis kanabis seberat 580.98 gram, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Anselm Charles Fernandis memutuskan hukuman tersebut selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh setelah meneliti fakta kes, rayuan dan hujah pendakwaan.

Beliau memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 24 Mac 2022 selain tertuduh lelaki turut dikenakan hukuman 10 sebatan atas kesalahan tersebut.

Berdasarkan pertuduhan pilihan, Kebechi Thomas dan Happy Akhidenor didakwa bersama-sama memiliki kanabis seberat 580.98 gram di sebuah rumah di Pangsapuri Bukit Beruang Bestari, Ayer Keroh di sini, kira-kira jam 5.30 pagi, pada 24 Mac 2022.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 29A(2) akta sama dibaca bersekali Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan boleh dipenjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan minimum 10 sebatan.

Bagi pertuduhan utama, mereka didakwa mengedar dadah berkenaan mengikut Seksyen 39B(1)(a) ADB 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama, jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan fakta kes, tertuduh yang merupakan pelajar di sebuah universiti swasta di Melaka dan Kuala Lumpur ditahan dalam satu serbuan menerusi Op Tiong.

Hasil pemeriksaan polis menemui satu ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja anggaran berat 600 gram (g) dan lima peket plastik lut sinar berisi dadah ganja anggaran berat 26.10 g yang disimpan dalam beg sandang berwarna hitam dan biru.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Asri Abd Rahman Sidik yang mencadangkan hukuman berat sebagai pengajaran kepada warga tempatan dan asing selain menjamin kedaulatan undang-undang negara.

Kedua-dua tertuduh yang diwakili Peguam Datin Kharen Jit Kaur kemudian merayu hukuman minimum dengan alasan telah insaf dan masing-masing mempunyai tanggungan keluarga di Nigeria termasuk Kebechi Thomas yang menyara tiga anak berusia 17 hingga 10 tahun manakala Happy Akhidenor merupakan ibu tunggal.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman itu kepada kedua-dua tertuduh dan 10 sebatan terhadap Kebechi Thomas.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!