Lelaki terlepas hukuman gantung, diganti penjara 30 tahun, 12 sebatan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Mahkamah Rayuan di sini pada Selasa menggantikan hukuman gantung kepada penjara 30 tahun dan 12 sebatan terhadap bekas pengurus syarikat pembinaan, atas sabitan membunuh kekasih warga Indonesia dengan 28 tikaman, enam tahun lalu.

Keputusan sebulat suara tersebut dibuat panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Hadhariah Syed Ismail, terhadap pesalah, Sobri Abdul Wahab, 46, selaku perayu selepas mendapati rayuan berkenaan tidak mempunyai merit.

“Hakim Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf dalam mensabitkan kesalahan terhadap perayu.

“Sabitan didapati selamat dan dikekalkan,” katanya yang bersidang bersama Hakim, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azmi Ariffin.

Ketika membaca keputusan penghakiman, Hadhariah berkata, mahkamah mendapati ketidakwarasan perayu ketika kejadian tidak dapat dibuktikan.

Bagaimanapun, beliau berkata, mahkamah mengetepikan hukuman gantung oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor pada 31 Disember 2021 lalu.

Katanya, ia digantikan kepada hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan serta memerintahkan perayu menjalani hukuman penjara bermula tarikh tangkap, iaitu 10 Mac 2018.

Berikutan pindaan ke atas Seksyen 302 Kanun Keseksaan, mahkamah boleh menjatuhkan hukuman penjara antara 30 tahun hingga 40 tahun terhadap pesalah, jika tidak dijatuhkan hukuman mati.

Artikel Berkaitan:

Pesalah lelaki juga hendaklah dihukum sebat tidak kurang daripada 12 sebatan.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa membunuh seorang wanita warga Indonesia, Gusnima, 38, di sebuah pangsapuri di Seksyen U8, Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor, antara jam 6 petang hingga 8 malam, 10 Mac 2018.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

Pada 31 Disember 2021, Mahkamah Tinggi Shah Alam mendapati lelaki itu bersalah atas tuduhan berkenaan dan menjatuhi hukuman gantung sampai mati.

Hakim (Mahkamah Tinggi ketika itu), Datuk Abd Halim Aman dalam penghakimannya berkata, penyakit Skizofrenia tidak mengganggu dan bukan penyebab kepada perlakuan tertuduh sewaktu kejadian.

Katanya, perbuatan membunuh dilakukan oleh tertuduh dalam keadaan sedar.

Sebelum ini, media melaporkan, Gusnima yang juga pembantu kantin sekolah ditemui mati dibunuh dengan 28 tikaman selepas terlalu mendesak kekasihnya berkahwin, di sebuah pangsapuri di Bukit Jelutong, 10 Mac 2018.

Dalam kejadian jam 8.25 malam itu, mangsa yang berasal dari Medan, Indonesia mempunyai kesan tikaman iaitu 14 di leher, lima di belakang badan, empat di perut, tiga di rusuk kiri dan dua lagi di tengkuk.

Semasa hujahan, peguam KA Ramu yang mewakili perayu berkata, anak guamnya mempunyai penyakit mental sejak 2012 lalu.

Menurutnya, ketika kejadian anak guamnya tidak mengambil ubat dan berada dalam keadaan tidak waras.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Ng Siew Wee membantah bahawa perayu berkenaan, tidak waras ketika menikam mangsa.

Selain Ramu, perayu turut diwakili peguam, Khairul Naim Rafidi dan Farida Mohammad.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!