Hukuman gantung dua bekas polis bunuh mekanik diganti jel 40 tahun

Dua bekas anggota polis terlepas tali gantung selepas Mahkamah Persekutuan, di sini pada Selasa menggantikan hukuman gantung kepada penjara maksimum 40 tahun, bagi pertuduhan menembak seorang mekanik warga Indonesia hingga maut, 18 tahun lalu. Gambar hiasan
Dua bekas anggota polis terlepas tali gantung selepas Mahkamah Persekutuan, di sini pada Selasa menggantikan hukuman gantung kepada penjara maksimum 40 tahun, bagi pertuduhan menembak seorang mekanik warga Indonesia hingga maut, 18 tahun lalu. Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA – Dua bekas anggota polis terlepas tali gantung selepas Mahkamah Persekutuan, di sini pada Selasa menggantikan hukuman gantung kepada penjara maksimum 40 tahun, bagi pertuduhan menembak seorang mekanik warga Indonesia hingga maut, 18 tahun lalu.

Keputusan sebulat suara tersebut dibuat panel tiga hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, terhadap dua pemohon, Koperal Ailias Yahaya, 70, yang berkerusi roda dan rakannya, Lans Koperal Saiful Azlan Shah Abdullah, 60.

Ketika membaca keputusan penghakiman, Tengku Maimun berkata, dua pemohon ini diperintah untuk menjalani hukuman penjara dari tarikh tangkap iaitu pada 22 Januari 2006.

Turut bersidang ialah, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

Pada 2011, Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor mendapati Ailias dan Saiful Azlan didapati bersalah membunuh Yusrizal Yusuf, 38, antara jam 10 dan 11.30 malam, 13 Januari 2006 di Ladang Caledonia, Kilometer 22, Jalan Kuala Lumpur-Kuala Selangor, Batu Arang.

Dilaporkan, mereka didakwa membunuh mangsa dalam keadaan bergari dengan menembaknya sebanyak tiga kali kerana dikatakan menjalinkan hubungan dengan isteri orang, 18 tahun lalu.

Semasa hujahan, Timbalan Pendakwa Raya, Tetralina Ahmed Fauzi membantah permohonan kedua-dua lelaki itu yang mahu menggantikan hukuman mati terhadap penjara.

Menurutnya, ini kerana kes berkenaan termasuk dalam kes yang paling jarang berlaku, antara yang jarang berlaku.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kedua-dua pemohon telah menahan mangsa di Balai Polis Sungai Pelong, Kuala Selangor berhubung satu laporan polis oleh dua individu.

Ailias selaku pemohon pertama memberitahu dua individu itu bahawa, dia dan Saiful Azlan iaitu pemohon kedua boleh memukul dan melepaskan geram kepada mangsa.

Beliau berkata, si mati yang ditahan di bilik mesyuarat balai polis itu kemudian dibawa ke Ladang Caledonia dengan menaiki kereta dalam keadaan bergari.

“Tiba di ladang itu, pemohon kedua mengarahkan si mati keluar dari kereta dan mengarahkannya melutut.

“Dia kemudian melepaskan tiga tembakan menggunakan pistol hak milik kerajaan ke arah kepala mangsa dari belakang dalam jarak kurang tiga meter sementara pemohon pertama berada di depan si mati,” katanya.

Sementara itu, peguam, Muhammad Fadhli Sutris yang mewakili kedua-dua pemohon, berharap mahkamah mempertimbangkan faktor kesihatan anak guam mereka selepas menjalani tempoh hukuman penjara 18 tahun.

Menurutnya, pemohon pertama yang berkerusi roda mempunyai penyakit kronik manakala pemohon kedua, pernah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) selama dua kali.

“Saya percaya mereka amat menyesal dan memohon ihsan oleh mahkamah untuk keluar bertemu keluarga.

“Ailias mula berkhidmat dengan polis pada 1976 manakala Saiful Azlan pada 1982 serta pernah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!