Berkat bantu pelajar tahfiz, anak pesara guru hafal 30 juzuk al-Quran

Muhammad Aidit (tiga dari kanan) menerima sijil graduasi disampaikan oleh Pewakaf Utama, Datuk Khaidir Khana (tiga dari kiri) ketika Majlis Graduasi Pelajar ke Makkah dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri, baru-baru ini.
Muhammad Aidit (tiga dari kanan) menerima sijil graduasi disampaikan oleh Pewakaf Utama, Datuk Khaidir Khana (tiga dari kiri) ketika Majlis Graduasi Pelajar ke Makkah dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri, baru-baru ini.
A
A
A

KEMAMAN - Seorang pesara guru tidak menyangka bakti yang dicurahkan kepada sekumpulan pelajar tahfiz 16 tahun lalu menjadi antara sebab mendorong anaknya berjaya bergelar seorang hafiz al-Quran.

Norriah Ngah, 55, berkata, Muhammad Aidit Baihaqi Mohd Nasir, 16, yang menuntut di Pusat Pengajian Islam dan Tahfiz Raudhah Ribat Assyafie di sini berjaya bergelar hafiz dalam tempoh 19 bulan.

Menurutnya, anak bongsu daripada enam beradik itu berjaya menamatkan hafazan al-Quran bersanad 30 juzuk secara dalam talian bersama Institut Maqra’ah Al Alamiah yang berpusat di Makkah dan akan bertolak ke sana pada Selasa (23 April).

"Kalau tengok pada potensi dia, saya sendiri pun tak sangka dia boleh tamatkan hafazan al-Quran dalam tempoh yang singkat itu sebab saya ingat paling cepat pun mungkin dalam tiga tahun. Mungkin itu juga anugerah ALLAH SWT untuk diri dia.

"Pada mulanya saya tidak teringat tentang pelajar tahfiz yang saya pernah bantu tu bila ustaz tanya apa petua sehingga Muhammad Aidit berjaya hafaz al-Quran dalam tempoh yang singkat sehinggalah pada satu malam tu saya bermimpi.

"Saya mimpi berada di satu tempat, bawa kereta Proton Wira dan di dalamnya dipenuhi dengan budak-budak tahfiz.

Mohd Arif (kanan) bersama Muhammad Aidit dihadapan bilik hafazan secara dalam talian di pusat pengajian berkenaan.
Mohd Arif (kanan) bersama Muhammad Aidit dihadapan bilik hafazan secara dalam talian di pusat pengajian berkenaan.

"Saya fikir-fikir balik rupanya saya pernah berkhidmat untuk anak-anak tahfiz ini dengan menghantar mereka dari kawasan perumahan yang mereka tinggal ke madrasah di Kampung Chabang di Kerteh. Waktu tu tahun 2007 dan mereka masih kecil lagi. Muhammad Aidit pula lahir pada 2008," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Norriah, dia berkhidmat selama lima bulan berulang alik menghantar dan mengambil pelajar berkenaan dengan tidak mengambil apa-apa bayaran.

"Saya ingat lagi saya ada minta daripada mereka supaya doakan agar dalam keluarga saya ada anak yang bergelar hafiz.

"Sebenarnya kejayaan itu juga bermula daripada anak juga sebab kita hanya mampu mendorong dan tidak boleh memaksa untuk dia menjadi hafiz. Keadaan akan berbeza berbanding kita paksa atau dengan kemahuan dia sendiri, " katanya yang tinggal di Kampung Tebing Tembah, Paka di Dungun.

Sementara itu, Muhammad Aidit meluahkan rasa syukur kerana berjaya menamatkan hafazan al-Quran dalam tempoh yang singkat.

Muhammad Aidit (kanan) merakam gambar bersama Mohd Arif (dua dari kanan) serta ibu dan bapanya pada Majlis Graduasi Pelajar ke Makkah dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri, baru-baru ini.
Muhammad Aidit (kanan) merakam gambar bersama Mohd Arif (dua dari kanan) serta ibu dan bapanya pada Majlis Graduasi Pelajar ke Makkah dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri, baru-baru ini.

"Kalau nak kongsi rahsia kejayaan ini saya rasa tak banyak sangat rahsia, cuma saya amalkan kaedah hafazan yang telah diajar oleh pusat tahfiz ini.

"Saya bersyukur sebab dalam sehari saya dapat kuasai hafazan dalam empat ke lima muka surat," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Majlis Graduasi Pelajar ke Makkah dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, Pengasas yang juga mudir Pusat Pengajian Islam dan Tahfiz Raudhah Ribat Assyafie, Datuk Mohd Arif Ismail berkata, Muhammad Aidit merupakan pelajar ketiga yang dihantar ke Makkah untuk menerima sijil berkenaan selepas Muhamad Syakirin Mohd Salleh, 18, dan Abdullah Muqri Abd Aziz,17, yang berjaya bergelar hafiz dalam tempoh 16 bulan pada tahun lalu.

"Kita ada ada hafiz termuda usia 12 tahun antara hafiz terpantas yang mampu kuasai hafazan al-Quran tidak sampai dua tahun. Dengan adanya sijil ini kita menyasarkan untuk melahirkan hafiz al-Quran yang lebih berkualiti," ujarnya.

Untuk rekod, Pusat Pengajian Islam dan Tahfiz Raudhah Ribat Assyafie memiliki 38 pelajar serta mempunyai satu lagi cawangan di Tok Sira, Kuantan bagi permulaan pelajar mempelajari asas hafazan al-Quran.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!