Batal PJD Link, derita penduduk makin panjang

Mohd Razali (tengah) menunjukkan peta aliran trafik di kawasan terbabit.
Mohd Razali (tengah) menunjukkan peta aliran trafik di kawasan terbabit.
A
A
A

PETALING JAYA - Penduduk Taman Medan di sini menyifatkan pembatalan projek pembinaan lebuh raya Petaling Jaya Traffic Dispersal Elevated Highway (PJD Link) akan menambah lagi derita mereka.

Wakil penduduk, Mohd Razali Abdullah berkata, sudah lebih sedekad penduduk dan pengguna jalan raya di kawasan itu menanggung derita berdepan masalah kesesakan lalu lintas yang sangat teruk.

Ujarnya, keputusan kerajaan membatalkan projek pembinaan PJD Link akan memberi tekanan berpanjangan kepada penduduk dan pengguna jalan raya di kawasan berkenaan.

Razali sehubungan itu berharap kerajaan dapat membuat pertimbangan sewajarnya untuk meneruskan projek yang mampu memberi manfaat kepada warga Petaling Jaya dan seluruh Lembah Klang itu.

"10 tahun lampau telah berlaku kesesakan, namun terus meningkat susulan pertambahan penduduk (di Taman Medan) dan kenderaan di atas jalan raya dari kedua-dua arah (Kuala Lumpur dan Shah Alam).

"Ketika ini kenderaan di Taman Medan pun kita tidak boleh tampung (kesesakan aliran trafik) apa lagi dengan (kemasukan) kenderaan dari luar kawasan dan ini menimbulkan lagi masalah (kesesakan)," katanya.

Beliau yang ditemui pemberita di Taman Medan turut mendakwa mewakili 60 peratus daripada jumlah 60,000 penduduk di kawasan Petaling Jaya bersetuju agar kerajaan meneruskan projek pembinaan PJD Link.

Artikel Berkaitan:

Dari kanan, Mohd Yusri, Mohd Razali, Azaman dan Vetrivelan ketika ditemui pemberita pada Isnin.
Dari kanan, Mohd Yusri, Mohd Razali, Azaman dan Vetrivelan ketika ditemui pemberita pada Isnin.

Hadir sama, Pengerusi Pertubuhan Komuniti Petaling Jaya, Mohd Yusri Ramli; Setiausaha Koperasi Melayu Petaling Berhad, Azaman Arshad dan Pengerusi Kebajikan dan Perkembangan Pendidikan Sekolah Tamil Malaysia, M Vetrivelan.

Pada Rabu minggu lalu, Jemaah Menteri memutuskan untuk tidak meneruskan projek PJD Link.

Menteri Komunikasi merangkap jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat selepas pemegang konsesinya, gagal memenuhi enam daripada 11 syarat yang ditetapkan.

Mohd Razali berkata, sekiranya pemegang konsesi gagal untuk memenuhi syarat ditetapkan, kerajaan sewajarnya berunding semula dan bukan terus membatalkan projek berkenaan.

"Tapi mereka (kerajaan) terus cakap batal, jadi penduduk terkedu sebab ia boleh dirunding. Kita bukan hendak runding dengan membawa keluar senjata tapi berunding cara terhormat, cara diplomasi," katanya.

Tambahnya, apa sahaja keputusan diharap memihak kepada kepentingan penduduk dan mereka tidak kisah pihak mana akan dilantik untuk meneruskan projek tersebut.

"Ini kerana kami tidak mewakili konsesi terlibat dan kita hanya mewakili penduduk.

"Kami tidak kisah siapa yang akan dilantik kerana isu utama adalah mengatasi kesesakan (lalu lintas) yang ditanggung," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!