'PJD Link tetap dianggap projek berdaya maju, bawa manfaat kepada rakyat'

PJD Link berkata, pihaknya sedang mengkaji permintaan untuk menyemak jajaran lebuh raya.
PJD Link berkata, pihaknya sedang mengkaji permintaan untuk menyemak jajaran lebuh raya.
A
A
A

KUALA LUMPUR - PJD Link (M) Sdn Bhd percaya bahawa projek pembinaan lebuh raya Petaling Jaya Traffic Dispersal Elevated Highway (PJD Link) kekal sebagai projek berdaya maju membawa manfaat kepada rakyat.

Menurut syarikat tersebut, PJD Link merupakan projek bernilai RM4.4 bilion dengan limpahan ekonomi yang besar yang akan memberi manfaat kepada banyak pihak.

"Di mana ia diunjurkan menyediakan anggaran 12,000 pekerjaan dan menjana RM31 bilion dalam jumlah keluaran ekonomi.

"PJD Link juga bertujuan untuk dibiayai sepenuhnya secara persendirian, tanpa perbelanjaan daripada kerajaan negeri atau Persekutuan.

"Ia juga merupakan infrastruktur penting yang bertepatan dengan pembangunan pesat Selangor, di mana sambungan bebas kesesakan antara Kinrara dan Damansara masih diperlukan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Kenyataan itu turut memaklumkan, lebuh raya itu direka bentuk sebagai sistem penyuraian lalu lintas, untuk menghubungkan dengan tujuh lebuh raya utama dan 11 persimpangan, bagi meningkatkan kesalinghubungan antara perbandaran dan mengurangkan kesesakan.

"Projek ini yang dimiliki oleh kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kerja Raya telah pun melalui penelitian terperinci oleh semua kementerian dan badan kawal selia yang berkaitan.

"Ini diakhiri dengan kelulusan daripada Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA), Penilaian Kesan Trafik (TIA) dan laporan Penilaian Kesan Sosial (SIA)," kata kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, syarat-syarat yang tidak dipenuhi seperti disebut Menteri Komunikasi merangkap jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil sebenarnya adalah berpunca daripada 'Conditions Precedent' (CP) yang mengambil masa lebih lama daripada jangkaan kerana kerumitan projek itu.

"Walaupun kami mengakui terdapat kebimbangan daripada orang ramai, projek itu juga mendapat sokongan meluas daripada pihak berkepentingan sepanjang penjajaran," katanya.

Katanya lagi, faedah ekonomi dan sosial holistiknya menjanjikan untuk meningkatkan kemampanan dan kesejahteraan dengan ketara di seluruh Selangor dan wilayah Lembah Klang yang lebih luas.

"Kami juga sedang mengkaji permintaan untuk menyemak jajaran lebuh raya.

"Kami bersemangat tentang peluang untuk menangani sebarang salah tanggapan yang mengelilingi PJD Link dan terlibat dalam perbincangan berterusan tentang projek infrastruktur penting ini, yang menjanjikan sosio-ekonomi penting dan berkekalan.

"Kami akan terus bekerjasama dengan agensi kerajaan yang berkaitan, termasuk Persekutuan dan negeri, untuk melihat bagaimana projek ini boleh berdaya maju untuk rakyat Selangor dan lebih besar di Lembah Klang juga," kata kenyataan itu.

Pada Rabu, Jemaah Menteri memutuskan untuk tidak meneruskan projek pembinaan lebuh raya PJD Link.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat selepas pemegang konsesinya, gagal memenuhi enam daripada 11 syarat yang ditetapkan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!