Projek PJD Link Expressway tidak diteruskan - Fahmi

Fahmi bercakap kepada pemberita semasa sidang media Kerajaan Perpaduan di Kementerian Komunikasi pada Rabu. Foto Bernama
Fahmi bercakap kepada pemberita semasa sidang media Kerajaan Perpaduan di Kementerian Komunikasi pada Rabu. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Jemaah Menteri pada Rabu memutuskan bahawa projek pembinaan Lebuhraya Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link Expressway) tidak akan diteruskan selepas pemajunya, PJD Link (M) Sdn Bhd (PJD Link), tidak memenuhi sejumlah syarat yang diperlukan.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, keputusan itu sekali gus menyaksikan tiada pelanjutan masa selepas syarat-syarat yang ditetapkan masih gagal dipenuhi oleh pemegang konsesi projek tersebut.

"Jemaah Menteri hari ini membuat keputusan tidak akan melanjutkan perbincangan dengan pihak PJD Link. Pihak PJD Link telah memohon pelanjutan untuk memenuhi sejumlah syarat yang diperlukan tetapi telah ditolak pihak kerajaan, dan keputusannya adalah tidak diteruskan.

"Akibat daripada itu maka projek tersebut tidak diteruskan,” katanya pada sidang media di sini pada Rabu.

PJD Link adalah pemegang konsesi bagi cadangan PJD Link Expressway iaitu lebuh raya berkembar dua lorong sepanjang 25.4 kilometer yang bermula selepas plaza tol NKVE di Lebuhraya SPRINT, Damansara dan berakhir di persimpangan Lebuhraya Bukit Jalil.

Pelaksanaan projek itu adalah untuk menangani kesesakan lalu lintas dan menampung pertumbuhan kenderaan masa depan di Kuala Lumpur dan Lembah Klang.

PJD Link memeterai perjanjian konsesi dengan Kerajaan Malaysia pada 5 April 2022.

Fahmi berkata, Kementerian Kerja Raya akan mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu dalam masa terdekat.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan penghargaan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) atas kejayaan aktiviti penguatkuasaan bagi memastikan bekalan barangan keperluan asas mencukupi serta harga terkawal semasa perayaan Aidilfitri.

"KPDN telah berjaya dari segi penguatkuasaan untuk memastikan harga barang terkawal dan tidak timbul masalah berkaitan bekalan seperti ayam, telur dan sebagainya.

‘Respons daripada rakyat setakat ini adalah positif,” katanya yang menyifatkan kejayaan itu sebagai julung kali dicapai oleh penguatkuasa KPDN pada musim perayaan. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!