PJD Link: Harap kerajaan pertimbang semula keputusan

Jemaah Menteri pada Rabu memutuskan bahawa projek pembinaan Lebuhraya Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link Expressway) tidak akan diteruskan
Jemaah Menteri pada Rabu memutuskan bahawa projek pembinaan Lebuhraya Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link Expressway) tidak akan diteruskan
A
A
A

PETALING JAYA - Gabungan Persatuan Penduduk Taman Medan berharap kerajaan dapat mempertimbangkan semula keputusan pembatalan projek lebuh raya Petaling Jaya Traffic Dispersal Elevated Highway (PJD Link) demi kemudahan penduduk.

Pengerusinya, Mohamed Dollah berkata, pihaknya difahamkan pihak berkenaan telah membuat rayuan berkenaan keputusan tersebut.

Menurutnya, projek itu penting bagi penyuraian trafik di kawasan tersebut selain memberikan lebih alternatif kepada penduduk untuk mengelak kesesakan lalu lintas pada waktu puncak.

"Kami di sini berdepan isu kesesakan terutama pada waktu puncak pagi dan petang disebabkan pembangunan padat di samping projek perumahan bertingkat menyusul di sini.

"Penduduk Taman Medan tiada bantahan projek ini diteruskan kerana merupakan satu keperluan dan berharap kerajaan pertimbang semula keputusan tersebut," katanya pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu pembatalan projek berkenaan seperti diumumkan oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil pada Rabu.

Fahmi berkata, keputusan itu dibuat Jemaah Menteri selepas pemegang konsesinya, gagal memenuhi enam daripada 11 syarat yang ditetapkan.

Berdasarkan perancangan, lebuh raya terbabit akan menghubungkan bahagian utara dan selatan Petaling Jaya menerusi Petaling Jaya Utara, Bandar Utama, Taman Tun Dr Ismail, Taman Dato' Harun, Taman Medan Baru, Taman Sri Manja, Bandar Kinrara dan Bukit Jalil Technology Park.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, pembinaan projek itu mendapat bantahan daripada penduduk setempat.

Mohamed berkata, penduduk yang membuat bantahan terdiri daripada komuniti di Seksyen 14 Petaling Jaya yang dipercayai terbabit isu pengambilan tanah bagi projek PJD Link sepanjang 34.3 kilometer.

"Setiap pembangunan yang mahu dijalankan pasti akan ada bantahan seperti di Kerinchi Link namun lepas siap projek tersebut beri banyak manfaat kepada pengguna.

"Jika ia libatkan kerosakan atau perobohan sekali pun, perkara tersebut mungkin boleh diatasi dengan jajaran di ubah suai," katanya.

Pada masa sama, beliau berharap pemegang konsesi agar dapat memenuhi syarat ditetapkan jika serius mahu meneruskan projek berkenaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!