Pembinaan rumah ibadat: Jangan putar fakta, kenyataan Perdana Menteri jelas tegas, inklusif

SHAH ALAM – Mesej Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai pembinaan rumah ibadat jelas menekankan disiplin undang-undang yang mesti dihormati, tanpa larangan beribadat atau diskriminasi agama.
Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Danish Hairudin berkata, kenyataan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk R Sri Sanjeevan mengenai pembinaan rumah ibadat jelas bersifat retorik politik yang cuba menimbulkan persepsi seolah-olah Perdana Menteri bersikap keras dan tidak sensitif dalam isu berkenaan.
Menurutnya, kenyataan Perdana Menteri yang diambil tanpa konteks penuh itu berniat jahat.
"Perdana Menteri bukan sahaja menyebut berkenaan kuil yang dibina namun menyebut surau yang pernah dirobohkan di Perak kerana tidak mengikut peraturan.
"Hakikatnya, kenyataan bahawa rumah ibadat tidak boleh dibina sesuka hati di mana-mana bukanlah sentimen perkauman atau agama, tetapi prinsip asas undang-undang tanah dan perancangan bandar yang terpakai kepada semua pihak tanpa pengecualian," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Terdahulu, Sri Sanjeevan dalam Facebooknya menulis: "Tak boleh pacak kuil atau berhala di mana sahaja."
Beliau menambah, dalam negara majmuk, pemimpin yang matang akan menenangkan keadaan, bukan mencipta persepsi, dipercayai merujuk kepada kenyataan perdana menteri mengenai rumah ibadat.
Dalam pada itu, Danish berkata, sebagai sebuah negara berdaulat, Malaysia mempunyai kerangka perundangan yang jelas.
Katanya, prinsip berkenaan tidak pernah bersasar kepada mana-mana agama secara khusus masjid, surau, kuil, gereja mahupun tokong tertakluk kepada proses yang sama.
"Ironinya, mereka yang hari ini bercakap tentang bahasa lembut dan inklusif adalah kelompok yang sama gemar mempolitikkan isu rumah ibadat setiap kali ada tindakan penguatkuasaan.
"Jika benar mahu menenangkan keadaan, sepatutnya mesej yang dibawa ialah menghormati undang-undang dan menggalakkan penyelesaian melalui saluran sah, bukannya menyindir kenyataan yang sebenarnya bersifat prinsip pentadbiran.
"Oleh itu, cubaan pihak tertentu memutar kenyataan Perdana Menteri sebagai tidak sensitif hanyalah berniat jahat," katanya.
Ujarnya, dalam negara majmuk, ketegasan yang adil seperti inilah sebenarnya menjadi asas perpaduan, bukan retorik yang mengaburkan fakta demi keuntungan politik sempit.
Ringkasan AI
- Mesej Perdana Menteri tentang pembinaan rumah ibadat menekankan kepatuhan kepada disiplin undang-undang
- Kenyataan Perdana Menteri disalahertikan sebagai tidak sensitif dan keras oleh Datuk R Sri Sanjeevan
- Semua rumah ibadat tertakluk kepada prinsip undang-undang tanah dan perancangan bandar yang sama tanpa pengecualian
- Cubaan memutarbelitkan kenyataan Perdana Menteri sebagai tidak sensitif adalah berniat jahat
- Ketegasan yang adil dalam mengurus rumah ibadat di negara majmuk penting untuk perpaduan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
