'PJD Link batal, masalah kesesakan masih perlu perhatian'

Lee Chean Chung
Lee Chean Chung
A
A
A

PETALING JAYA - Isu kesesakan jalan raya masih memerlukan perhatian segera daripada kerajaan Pusat dan negeri walaupun projek pembinaan lebuh raya Petaling Jaya Traffic Dispersal Elevated Highway (PJD Link) dibatalkan.

Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung berkata, ini kerana, semua sedar bahawa Petaling Jaya dan seluruh Lembah Klang mengalami masalah kesesakan lalu lintas yang sangat teruk.

Ujarnya, salah satu sebab utama PJD Link dicadangkan adalah untuk mengatasi masalah tersebut, namun ia menerima bantahan daripada penduduk setempat kerana bukan penyelesaian pokok kepada kekangan pergerakan dihadapi rakyat di Lembah Klang.

"Masalah kesesakan lalu lintas berpunca daripada sistem pengangkutan awam kurang lengkap, perhubungan batuan pertama dan terakhir yang tidak rapi serta perancangan bandar tidak mengutamakan bas, e-skuter, basikal dan pejalan kaki.

"Untuk mengatasi kekangan ekonomi berorientasikan kereta, kerajaan perlu ada iltizam kuat dan jelas. Selain PJD Link, kerajaan wajar mencadangkan alternatif konkrit kepada rakyat," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Ujarnya, walaupun kerajaan telah membelanjakan berbillion-billion untuk membina Keretapi Tanah Melayu (KTM) Komuter, transit aliran ringan (LRT) dan transit aliran massa (MRT) namun, masalah kesalinghubungan masih dalam tahap yang teruk dan masih kurang tindakan jelas diambil untuk menyelesaikan masalah timbul selama ini.

"Melihat kepada keadaan kesesakan yang kian buruk, saya berpendapat bahawa kerajaan perlu bertindak sekarang sebelum situasi menjadi lebih mudarat," ujarnya.

Pada Rabu, Jemaah Menteri memutuskan untuk tidak meneruskan projek pembinaan lebuh raya PJD Link.

Artikel Berkaitan:

Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat selepas pemegang konsesinya, gagal memenuhi enam daripada 11 syarat yang ditetapkan.

Dalam pada itu, Chean Chung menyokong keputusan kerajaan dan menyifatkan Kerajaan Perpaduan telah memberi jawapan jelas iaitu menolak permohonan tersebut.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!