Guru wajib diperkasa seimbang dunia terhubung - MB Selangor

Amirudin ketika berucap pada majlis pertemuan bersama warga pendidikan sempena Majlis Berbuka Puasa Menteri Besar Selangor bersama Guru dan Komuniti Pendidik Negeri Selangor 2026 di Dewan Raja Muda Musa pada Sabtu. - Foto: SINAR HARIAN /ASRIL ASWANDI MOHD SYUKUR
Amirudin ketika berucap pada majlis pertemuan bersama warga pendidikan sempena Majlis Berbuka Puasa Menteri Besar Selangor bersama Guru dan Komuniti Pendidik Negeri Selangor 2026 di Dewan Raja Muda Musa pada Sabtu. - Foto: SINAR HARIAN /ASRIL ASWANDI MOHD SYUKUR
A
A
A

SHAH ALAM - Peranan pendidik perlu terus diperkasa dalam mendepani cabaran dunia yang semakin terhubung bagi memastikan keseimbangan antara nilai jati diri dan keterbukaan global dapat dipertahankan.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari menegaskan bahawa dalam era connected world ketika ini, masyarakat bukan sahaja terhubung dengan keluarga dan rakan, malah dengan seluruh dunia di hujung jari.

Namun menurutnya, pada masa sama wujud kecenderungan untuk memisahkan diri daripada nilai, asal-usul dan jati diri.

“Semakin hari kita menilai siapa diri kita, di mana kedudukan kita dan apakah akar kepada pegangan kita.

"Sebab itu pentingnya dunia pendidikan untuk menetapkan keseimbangan antara memahami latar belakang serta nilai dalaman kita dengan meneruskan keterhubungan dengan dunia luar.

“Jika keseimbangan ini gagal dicapai, masyarakat masa depan akan berdepan cabaran yang lebih besar,” ujarnya ketika berucap pada majlis pertemuan bersama warga pendidikan sempena Majlis Berbuka Puasa Menteri Besar Selangor bersama Guru dan Komuniti Pendidik Negeri Selangor 2026 di Dewan Raja Muda Musa di sini pada Sabtu.

Majlis Berbuka Puasa Menteri Besar Selangor bersama Guru dan Komuniti Pendidik Negeri Selangor 2026 di Dewan Raja Muda Musa pada Sabtu - Foto: SINAR HARIAN /ASRIL ASWANDI MOHD SYUKUR
Majlis Berbuka Puasa Menteri Besar Selangor bersama Guru dan Komuniti Pendidik Negeri Selangor 2026 di Dewan Raja Muda Musa pada Sabtu - Foto: SINAR HARIAN /ASRIL ASWANDI MOHD SYUKUR

Amirudin berkata, meskipun pertemuan itu tidak dapat menghimpunkan keseluruhan lebih 60,000 warga pendidik di negeri ini, kehadiran wakil Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Pendidikan Negeri, universiti serta agensi berkaitan menunjukkan komitmen tidak berbelah bahagi dalam memartabatkan pendidikan di Selangor.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut mengingatkan bahawa lambakan maklumat pada masa kini tidak semestinya melahirkan kebijaksanaan.

“Informasi yang banyak belum tentu memandaikan yang cukup, belum tentu membijakkan kita dan belum tentu memastikan kita hidup dalam suasana aman dan stabil.

“Sebab itu anak-anak dan pelajar mesti terus dilatih dan dipandu bukan sahaja dari sudut akademik, tetapi dari segi kemanusiaan serta nilai-nilai kehidupan,” ujarnya.

Menurutnya, pelbagai cabaran semasa yang berlaku kadangkala di luar batas logik dan akal fikiran, termasuk kes tragis melibatkan hubungan kekeluargaan, menjadi peringatan bahawa fokus terhadap pendidikan kekal amat penting.

Beliau berkata, dalam pertemuan pendidikan setahun lalu, beliau turut menyentuh mengenai konsep “generasi hati” atau the anxious generation yang hidup dalam tekanan keterhubungan tanpa sempadan, namun pada masa sama mencari makna dan kestabilan emosi.

“Pendidikan harus melahirkan generasi yang mampu membina kehidupan yang damai dan seimbang,” ujarnya.

Ringkasan AI

  • Peranan pendidik penting dalam mendepani cabaran dunia yang semakin terhubung untuk memastikan keseimbangan nilai jati diri dan keterbukaan global
  • Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari menekankan bahawa wujud kecenderungan memisahkan diri dari nilai asal usul dan jati diri dalam era connected world
  • Keseimbangan antara memahami nilai dalaman dengan keterhubungan global penting untuk menghadapi cabaran masa depan
  • Lambakan informasi tidak semestinya melahirkan kebijaksanaan, anak-anak dan pelajar perlu dilatih dan dipandu dalam nilai kehidupan
  • Pendidikan harus melahirkan generasi yang mampu membina kehidupan yang damai dan seimbang

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!